suria

Lapan Warga Indonesia Diusir, Simpan Gambar Unsur Militan Daesh

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Lapan warga Indonesia diusir pulang oleh Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, berikutan salah seorang daripada mereka dipercayai menyimpan gambar berunsur kumpulan militan Daesh di dalam telefon bimbit.

Menurut sumber, kumpulan itu ditahan pihak berkuasa Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodland, Singapura kira-kira 1.30 pagi Selasa.

"Ketika pemeriksaan, pihak Imigresen Singapura menemui gambar-gambar kumpulan militan Daesh serta gambar bom buatan tangan menggunakan kasut pada telefon bimbit salah seorang suspek.

"Pihak berkuasa Singapura kemudian meletakkan mereka pada status 'Di Larang Masuk' (NTL) ke republik itu, sebelum kesemua mereka diserahkan kepada polis Malaysia untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Sumber itu berkata polis telah menahan kumpulan berkenaan dari 2.30 pagi hingga 9 pagi, dan hasil soal siasat mendapati, suspek memperoleh gambar berkaitan Daesh melalui satu kumpulan Whatsapp yang disertainya.

"Selepas siasatan dijalankan, suspek telah diusir ke Batam, Indonesia dengan menaiki sebuah feri sebelum ditahan dua jam kemudian oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) dan Polis Daerah Riau untuk siasatan susulan," katanya.

Difahamkan, kesemua suspek yang merupakan penuntut Sekolah Pondok, Darul Hadits, Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia, berada di negara ini sejak 3 Januari lalu bagi mendapatkan rawatan kesihatan salah seorang daripada mereka.

Bagaimanapun empat hari kemudian, mereka bermalam di Perlis sebelum menuju ke Pattani, Thailand untuk belajar mengenai sistem pendidikan di Lembaga Pendidikan Islam di daerah berkenaan.

Menurut sumber, kesemua suspek kembali ke negara ini pada Isnin lalu bagi memasuki Singapura menerusi pintu sempadan Johor.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. - BERNAMA

militan Daesh, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Lain