suria

Cadangan Guna Dron Untuk Kerja Penanaman Padi - Tajuddin

PASIR SALAK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersedia menimbang cadangan menggunakan dron untuk kerja-kerja penanaman padi di negara ini, kata timbalannya menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata penggunaan dron dapat membantu para petani meningkatkan pengeluaran hasil padi di samping mengurangkan penggunaan kos, masa dan tenaga buruh.

Katanya dron itu boleh digunakan untuk menabur benih, baja dan racun padi serta mendapatkan data mengenai tanah sawah sekiranya padi diserang penyakit bagi membolehkan tindakan awal diambil.

"Baru-baru ini saya mengadakan lawatan kerja ke China dan saya diperkenalkan dengan penggunaan teknologi dron ini yang digunakan untuk kerja-kerja penanaman padi dan ia menjimatkan masa berbanding menggunakan jentera atau tenaga manusia.

"Kita akan melakukan demonstrasi penggunaan dron di kawasan jelapang padi dan mengadakan perbincangan dengan pegawai kementerian secara terperinci dan menyeluruh untuk melaksanakan jika kaedah itu dilihat berkesan," katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif di bawah program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) EPP 11 Musim 2/2016 Kawasan Seberang Perak dan Sungai Manik/Labu Kubong di sini Selasa malam. 

Pada majlis itu, 478 petani bagi kawasan Seberang Perak dan Sungai Manik/Labu Kubong menikmati insentif lebih RM2 juta dan setiap petani menerima bayaran insentif RM2,000 bagi setiap hektar untuk setiap lima musim. 

Dalam pada itu, Tajuddin menggesa petani meningkatkan pengeluaran padi kepada 10 metrik tan per hektar bertepatan dengan matlamat Malaysia untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

"Saya masih tidak berpuas hati kerana setakat ini kira-kira 10 peratus sahaja petani yang mampu menanam padi sehingga 10 metrik tan per hektar kerana peratusan yang ada sangat kecil.

"Petani perlu mengubah sikap untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dengan menjaga kawasan sawah padi agar bebas daripada sebarang penyakit yang boleh merosakkan tanaman dan mengendalikan hasil tuaian dengan baik supaya tidak berlaku kehilangan padi selepas penuaian," katanya.

Sementara itu, Tajuddin berkata langkah menyenaraikan kelapa sebagai komoditi negara selepas Lembaga Koko Malaysia (LKM) distruktur semula sebagai Perbadanan Koko dan Kelapa Malaysia merupakan perkembangan yang positif bagi mengukuhkan industri kelapa di negara ini.

Beliau berkata ini kerana ketika ini negara menghadapi kekurangan bekalan kelapa sehingga kerajaan perlu mengimport kelapa dari Indonesia serta Filipina.

"Di samping itu, kita juga perlu melakukan pembaharuan penanaman kelapa memandangkan di negara ini tidak mempunyai keluasan tanah yang begitu banyak untuk menanam kelapa dalam jumlah yang besar.

Isnin lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perbadanan Koko dan Kelapa Malaysia akan diwujudkan bagi menggantikan Lembaga Koko Malaysia dalam usaha meningkatkan pengeluaran kelapa di negara ini.

Di samping meningkatkan pengeluaran kelapa, langkah itu dilaksanakan memandangkan harga kelapa lebih mahal berbanding kelapa sawit dan jumlah pendapatan setiap hektar adalah lebih tinggi daripada komoditi lain ketika ini.-- Bernama





dron, padi

Artikel Lain