suria

Bom: Tiga Penerbangan Ke KL Terjejas, Lapangan Terbang Mumbai Kini Berjaga-Jaga

- Gambar fail pesawat-pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Mumbai
MUMBAI: Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Mumbai diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas menerima maklumat Interpol mengenai bom dalam penerbangan ke Kuala Lumpur malam Isnin, lapor  Times of India.

Agensi-agensi keselamatan melakukan carian ke atas tiga pesawat - dua penerbangan Malaysia Airlines dan sebuah pesawat Malindo Air untuk mencari objek-objek yang mencurigakan.

Lebih daripada 400 penumpang dan 500 daftar masuk bagasi telah menjalani pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh.

Skuad pengesan bom dan serta anjing pengesan turut dikerahkan.

Penerbangan telah ditangguhkan sehingga lima jam disebabkan pemeriksaan keselamatan.

Menurut laporan itu, Biro Pusat Penyiasatan (CBI), perkhidmatan keselamatan dan perisikan domestik India, telah menerima input risikan melalui Interpol tentang bom dalam penerbangan ke Kuala Lumpur.

Terdapat satu lagi amaran dari sumber yang berbeza, kira-kira pukul 9.50 malam Isnin.

Dilaporkan, VoIP (panggilan suara melalui internet protokol) dan pemanggil tanpa nama telah bercakap mengenai bom dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dan diputuskan selepas mesej itu disampaikan.

Agensi-agensi keselamatan membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas semua tiga penerbangan ke Kuala Lumpur iaitu pesawat penerbangan Malindo Air OD-216 pukul 11.15 malam dengan 140 penumpang, pesawat Malaysia Airlines MH-195 pukul 11.25 malam dengan 158 penumpang dan MH-187 pukul 2 pagi dengan 145 penumpang.

"Penumpang yang menaiki pesawat itu telah dimaklumkan mengenai panggilan bom itu dan diminta untuk turun dari pesawat bagi menjalani pemeriksaan keselamatan sekali lagi," Times of India memetik seorang pegawai polis.

"Tidak seorang penumpang pun merungut atau mencetuskan kekecohan. Sebaliknya, mereka sendiri tampil dan meminta kami membuat pemeriksaan, mereka tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku di udara," kata pegawai itu.

Pemeriksaan keselamatan bermula kira-kira pukul 10 malam Isnin dan berakhir pada 6.23 pagi Selasa.

Pesawat Malindo Air tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.20 pagi Selasa, sementara MH195 tiba pada 11.35 pagi dan MH187 pada pukul 1.56 tengahari.

"Dalam tempoh pemeriksaan selama sembilan jam, beg tangan, bagasi daftar masuk, kabin penumpang, bahagian kargo, botol minuman keras di atas kapal, segala-galanya telah diperiksa.

"Kami kemudian membuat kesimpulan bahawa ia adalah panggilan palsu," kata sumber kepada akhbar itu.

Baru-baru ini terdapat dua kejadian serangan bom di lapangan terbang.

Pada Mac tahun lepas, dua pengebom berani mati, membawa bahan letupan dalam bagasi, menyerang balai berlepas di Lapangan Terbang Brussels.

Kemudian pada Jun 2016, dua penyerang melepaskan tembakan dan meletupkan bom berhampiran sebuah pusat pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Atatürk di Istanbul, Turki.

Penyerang ketiga mencetuskan letupan di tempat letak kereta di seberang jalan dari terminal.

Artikel Lain