suria

Curi Coklat: Penjual Air Dipenjara Sehari, Denda RM300

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri tujuh keping coklat di sebuah pasar raya, seorang penjual air dipenjara sehari dan didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu.

Majistret Mahyudin Mohamad Som memerintahkan Joseph Lee, 33, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Januari.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 hari, jika dia gagal membayar denda tersebut.

Joseph yang berasal dari Sabah, didakwa mencuri tujuh keping coklat milik pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad di Jalan Masjid India, di sini, kira-kira 11.30 pagi, semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya membawa hukuman penjara atau denda atau sebat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.-- Bernama

coklat, Jalan Masjid India

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain