suria

Bermulanya Diari Tukang Baiki Pesawat

Iqbal kini merantau ke Doha untuk melebarkan sayap sebagai tukang baiki pesawat.

DISEBABKAN aku hanya berkelulusan sijil dari Institut Kemahiran Mara (IKM), ia tidak mencukupi untuk aku mengorak langkah ke atas.

Lantaran itu aku nekad berhenti kerja pada tahun 1997 bagi menyambung pelajaran ke peringkat diploma.

Waktu itu, keadaan ekonomi Malaysia bukanlah seperti sekarang. Walaupun kadang-kadang terasa beban, kau masih boleh menikmati kehidupan dengan baik dan bukan itu sahaja, simpanan juga boleh ditambah dari masa ke semasa.

Barang-barang keperluan harian juga masih di bawah paras bahaya. Ikan kembung juga tidaklah semahal sekarang.

Industri penerbangan adalah sesuatu yang unik dan mencabar. Kau sebenarnya tidak perlu sijil atau diploma tertentu untuk memasuki bidang ini.

Industri ini, untuk bahagian teknikal terbahagi kepada tiga yang utama. Bengkel, penyelenggaraan pesawat dan penyelenggaraan atas landasan.

Pada zaman aku waktu itu, untuk mengorak langkah jauh dalam industri ini, salah satu caranya ialah dengan bekerja sebagai apprentice atau perantis di MAS.

Malangnya, percubaan demi percubaan untuk aku ke situ, gagal sepenuhnya.

Selepas tamat pengajian pada 2001, peluang untuk aku kembali ke industri penerbangan makin kelam apabila syarikat yang aku bekerja dahulu tidak mahu mengambil pekerja baru.

Dan seingat aku tahun itu, adalah tahun yang agak sukar untuk mendapat pekerjaan. Aku sendiri menganggur selama enam bulan sebelum diterima bekerja di Sepang.

Di Sepang, aku bekerja dengan syarikat menyelenggara kereta api. Aku ditawar menjadi juruteknik telekomunikasi. Waktu itu, gaji dan imbuhan yang aku terima agak mewah, setanding dengan kelulusan aku.

Tiga tahun aku berkhidmat, pelbagai pengalaman yang aku terima. Baik yang aneh, lucu, seram dan ngeri.

Iqbal ketika zaman mudanya selepas menamatkan pengajian peringkat sijil di IKM. 

Banyak perkara baru yang menarik. Sementelah, ini kali pertama bekerja dengan kereta api. Dulu kapal terbang sekarang kereta api. Boleh tahan juga!

Aku masih ingat satu peristiwa, waktu itu dalam perjalanan ke tempat kerja. Tiba-tiba perut rasa memulas.

Sepanjang perjalanan menaiki motosikal amat tidak selesa. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan kedudukan aku. Nasib baik tidak berlaku kemalangan.

Setelah sampai di stesen, aku kelam kabut memakir dan mengunci motosikal. Dengan hayunan langkah yang laju aku bergegas menuju ke stesen dengan satu matlamat. Ia harus ditunaikan dengan seberapa segera. Tiada kompromi.

Setelah masuk ke ruang pekarangan stesen, aku bergegas ke tandas. Entah kenapa hari itu aku terus menuju ke bilik tandas yang akhir. Sedangkan yang lain kosong.

Pintu-pintu bilik tandas yang lain ternanga luas. Tapi entah kenapa mereka terlalu hambar untuk aku waktu itu. Aku terus menolak daun pintu tandas yang penghujung itu setelah melihat tanda yang menunjukkan ianya kosong berwarna hijau.

Dan tidak semena-mena aku terlihat seseorang sedang mencangkung. Aku kaget. Kami berdua saling terkejut dan secepat mata aku terbeliak secepat itu jugalah dia menjerit sekuat hati.

Aku juga menjerit dalam waktu yang sama terlompat kebelakang sedikit. Aku memusingkan badan dan mula berlari keluar. Aku berlari sepantas Forest Gump yang dikejar pembuli sekolah Berlari tanpa menoleh ke belakang.

Satu persoalan berulang-ulang bermain di fikiran aku sepanjang larian maraton aku dari ruang legar ke platform.

Kenapa tak kunci pintu? Kenapa? Pelbagai scenario, agakan, rumusan dan tanggapan saling bertukar ganti cuba memadan dengan persoalan tadi. Sehingga kini ia tetap menjadi persoalan yang tidak mungkin aku mahukan jawapannya.

Akibatnya, sampai ke malam aku tidak membuang. Untuk hari itu, aku trauma.

Kira-kira tiga tahun aku berkhidmat dengan syarikat penyelenggaraan kereta api tersebut. Pada 2005 aku dibuang kerja atas alasan yang tidak munasabah.

Kehidupan aku jatuh teruk pada tahun itu. Dengan isteri yang sarat mengandung anak pertama, simpanan aku habis licin untuk menampung kehidupan selama enam bulan.

Sepanjang enam bulan itu lebih 80 resume aku hantar tapi tidak satu pun berjawab. Sehinggalah aku mendapat khabar ada satu syarikat penerbangan yang mengendalikan bengkel perkakasan dan radio memerlukan seseorang untuk menyelenggara bengkel itu.

Berkat pengalaman aku sebelum ini, aku berjaya mendapat pekerjaan itu yang juga berada di Sepang. Namun, aku tidak lama di situ. Sebabnya aku rasa macam ditipu. Selepas aku berjaya sempurnakan bengkel tersebut dan menggerakkannya, janji mereka untuk aku hanya tinggal janji.

Bukan itu sahaja, malahan pihak pengurusan mahu menukarkan aku ke Subang pula. Waktu itu aku sudah pun membeli rumah di Sepang demi memudahkan aku berulang alik ke pejabat.

Sekali lagi aku nekad berhenti kerja. Dan kebetulan hari aku meletak jawatan itu, adalah hari aku ditawarkan pula bekerja sebagai mekanik kapal terbang untuk sebuah syarikat MRO (Maintenance Repair and Overhaul) di Sepang.

Sepang lagi! Tiga pekerjaan aku setakat ini dan semuanya di Sepang. Di syarikat MRO aku bekerja menyelenggara pesawat penumpang. Salah satu impian aku sewaktu dulu. Alhamdulillah tertunai.

Gambar hiasan.

Di sini aku melakukan ujian operasi, menukar komponen dan selenggara berjadual. Pekerjaan yang sangat seronok. Di sini aku berpeluang duduk dalam kokpit, menurun dan memasang enjin, menanggal dan memasang gear pendaratan dan bermacam lagi.

Paling seronok melihat setiap komputer berfungsi dengan baik. Di sini baru aku tahu, setiap fungsi pesawat dikawal oleh komputer untuk sistem terbabit.

Aku pernah duduk berjam-jam di dalam kokpit melakukan ujian operasi. Dari sistem elektrikal, instrument, radio sehinggalah ke sistem kawalan terbang.

Melakukan ujian operasi antara kegemaran aku. Melihat skrin-skrin di dalam kokpit yang memaparkan sistem-sistem yang ada, melihat setiap lampu dan mendengar bunyian amaran tatkala ujian dilakukan mengujakan aku setiap kali.

Aku masih ingat, tugas pertama aku, menggantikan enjin pesawat Boeing 737. Bukan itu sahaja, aku sebagai mekanik pesawat di bahagian Avionics perlu menanggal satu kabel besar dan panjang untuk dipindahkan ke enjin baru.

Sangat mencabar untuk aku yang pertama kali. Dan sangat memuaskan apabila tugas itu selesai di lakukan.

Pernah juga aku ditugaskan menukar kotak hitam. Di sini baru aku nampak dengan jelas, malahan dapat memegang kotak hitam lagi. Kotak hitam memang bukan berwarna hitam. Ia berwarna jingga.

Di syarikat MRO ini aku menyelenggara Boeing 737 dan Airbus 320. Apakah perbezaan kedua kapal ini? 737 agak sempit dan manualnya agak sukar untuk diteliti. A320 agak luas, tersusun dan manualnya pula kemas dan mudah diteliti tetapi aturan sesuatu komponen agak celaru.

Di sini aku berkhidmat lama. Dari 2007 sehingga 2014. Aku berhenti kemudiannya. Kenapa aku berhenti? Itu cerita untuk hari lain. Cukuplah setakat ini dahulu kawan.

Jadikan coretan awal ini sebagai tanda pengenalan kita. Nanti aku ceritakan lagi bagaimana terjejaknya kaki anak Malaysia ini di padang pasir Doha.





IKM, Sepang

Artikel Lain