suria

Beri Lebih Kuasa Kepada JPN, PPB - Mahdzir Khalid

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan distruktur semula bagi memberi lebih autoriti kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam membuat keputusan, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan cadangan itu pada 14 Dis lepas dan struktur pada peringkat bahagian kementerian, JPN dan PPD akan dimuktamadkan dalam masa terdekat setelah urusan waran perjawatan selesai.

Katanya kementerian akan mengeluarkan senarai perkara yang akan diputuskan di peringkat kementerian, JPN dan PPD bagi mengurangkan masalah birokrasi terutamanya dalam aspek pentadbiran.

"Sekarang sekolah terbakar pun menteri yang perlu jawab, tulis dari sekolah ke PPD, dari PPD ke JPN, seterusnya ke kementerian dan kementerian akan bermesyuarat, barulah boleh buat keputusan.

"Selepas ini tidak perlu lagi. Jika sekolah terbakar, JPN putuskan peruntukan yang diperlukan untuk kerja membaik pulih dan kementerian akan beri peruntukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan tahun baharu 2017 kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Selasa.

Menjelas lanjut, Mahdzir berkata inisiatif itu bertujuan mengagihkan perjawatan daripada kementerian kepada JPN dan PPD serta membangun dan memperkasa daya kepimpinan bagi 150 hingga 200 jawatan kepimpinan utama di kementerian.

"Namun bagi sesetengah perkara, contohnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebagainya, itu adalah di bawah kementerian melalui Lembaga Peperiksaan," katanya.

Mengenai 1BestariNet fasa dua, beliau berkata 8,185 sekolah lagi akan dinaik taraf dengan rangkaian 4G menjelang Jun depan, setelah 6,000 sekolah telah selesai dinaik taraf dalam fasa satu.

"Dalam fasa dua, kementerian memberi keutamaan kepada pembelajaran murid dengan memastikan setiap makmal komputer disediakan capaian 4Mbps (megabit per saat) bagi menampung keperluan 40 murid menggunakan Virtual Learning Environment secara serentak," katanya.

Selain itu, Mahdzir berkata Pelan Data Individu 2GB yang berteknologi 4G telah diagihkan kepada 317,000 guru di beberapa buah negeri pada Disember lepas. - BERNAMA

Mahdzir Khalid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain