suria

Isteri Boleh Keluar Rumah Jika Dizalimi - Fatwa Perlis

Dr Asri Zainul Abidin.

PETALING JAYA: Wanita Islam bergelar isteri boleh meninggalkan rumah mereka tanpa keizinan suami sekiranya mereka dizalimi, tegas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengulas hak isteri melarikan diri dari rumah jika mereka dizalimi.

Dalam mesyuarat pada 20-21 Disember lalu, jawatankuasa tersebut memutuskan bahawa isteri diharuskan keluar sekalipun tanpa keizinan suami jika mereka ada anggapan yang kuat merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau hartanya berada dalam keadaan yang diiktiraf syarak.

"Ini setelah isteri benar-benar mendapati tiada langkah penyelesaian melainkan keluar meninggalkan rumah suami," demikian menurut kenyataan itu.

Malah, isteri juga boleh bertindak demikian jika suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan sesuai atau nafkah yang mencukupi.

"Isteri boleh keluar rumah tanpa mendapat izin suami dan tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata wanita Islam membiarkan diri mereka dizalimi atas alasan agama tidak membenarkan isteri keluar rumah sekalipun dalam bahaya.

"Kita lihat ramai wanita di sini yang menjadi mangsa. Mereka diberi maklumat yang salah bahawa mereka tidak boleh meninggalkan rumah dalam apa jua situasi.

"Perkahwinan mereka adalah serupa seperti berada di dalam penjara.Tujuan fatwa ini untuk melindungi golongan wanita yang bergelar isteri," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata isteri juga berhak keluar rumah jika suami mereka mengambil dadah, mengalami penyakit seksual atau meminjam wang daripada Ah Long sehingga membiarkan diri mereka menerima kesan daripada tindakan tersebut.


Artikel Lain