suria

Ketepikan Budaya Kerja Secara Silo

KUALA LUMPUR: Jabatan kerajaan dan penjawat awam digesa mengetepikan budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri dalam merealisasikan 2017 sebagai tahun penyampaian untuk kesejahteraan rakyat.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata langkah drastik perlu dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mencari kaedah terbaik menangani budaya itu.

"Begitu juga dalam aspek sistem penyampaian yang memerlukan tindakan yang lebih tegas, sekiranya projek tidak siap mereka yang jadi penyebab perlu dihukum.

Orang ramai dan Biro Aduan Awam pula perlu lebih proaktif dan berani buat pengaduan sekiranya kualiti perkhidmatan yang ditawarkan tidak sampai pada tahap yang tertinggi," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri mahu penjawat awam menjadikan 2017 sebagai tahun penyampaian dengan keutamaan melaksanakan projek dan program perkhidmatan yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat.

Mengenai isu ketirisan dalam kalangan penjawat awam, Nik Ahmad Kamal berpendapat soal integriti dan pegangan agama yang lemah menyebabkan penyakit itu masih gagal dibendung.

Katanya, perkara ini bukan sahaja disuarakan oleh Perdana Menteri, tapi sering juga disebut oleh pemerintah tertinggi termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Sultan.

"Kita(perkhidmatan awam) telah ada mekanisme dalaman seperti audit dalaman dan unit integriti serta sentiasa dipantau Suruhanjaya Pencegaharan Rasuah Malaysia.

Namun semua ini masih gagal kekang rasuah kerana masih ada yang sanggup memberi dan yang sanggup terima rasuah," katanya. 

Sehubungan itu, katanya setiap ahli politik perlu memainkan peranan besar untuk membantu mencegah rasuah kerana mereka mempunyai pengaruh dan kuasa besar tanpa mengharapkan pihak berkuasa semata-mata.

Sementara itu Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata penjawat awam tidak kira peringkat jawatan harus mendahulukan arahan kerajaan bagi kebaikan rakyat.

"Perkara yang diungkapkan Perdana Menteri adalah satu perkara serius untuk diambil kerana mahukan setiap peruntukan yang disalurkan sampai kepada rakyat, bukannya habis di tengah jalan," katanya.

Dalam pada itu, seorang penjawat awam, Muhammd Zhafry Hakim berpandangan penjawat awam perlu membudayakan pendekatan "budaya perkhidmatan" iaitu mengutamakan urusan rakyat dalam setiap perkhidmatan.

"Jika perkhidmatan yang diberikan itu sampai kepada rakyat dan rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan sudah tentu konsep merakyatkan pentadbiran akan tercapai. 

Justeru, perlunya penjawat awam memahami kembali konsep untuk apa dan kepada siapa dia berkhidmat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain