suria

Cuti Bersalin Empat Bulan Untuk Warga Kerja AXA Group

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Warga kerja AXA Group di seluruh dunia kini menikmati cuti bersalin berbayar penuh 16 minggu untuk wanita dan empat minggu untuk lelaki selepas kumpulan itu melancarkan dasar keibubapaan baharu awal tahun ini.

Dasar peringkat global yang dilancar pada 1 Jan itu dilaksana di sebahagian besar 64 negara yang ia beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif AXA Group Thomas Buberl berkata dasar turut terpakai untuk pekerja AXA Affin General Insurance (AAGI) di Malaysia, berkuat kuasa 1 Januari lepas.

"Dasar ini memberi hak dan peluang yang sama kepada semua pekerja AXA untuk memperbesar keluarga mereka.

"Saya yakin imbangan yang baik antara kerjaya dan kehidupan peribadi amat perlu bagi memenuhi tuntutan prestasi pekerja kami," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Katanya di Asia, dasar keibubapaan baharu AXA itu amnya melangkaui keperluan minimum yang diperuntukan undang-undang.

"Di Malaysia, keperluan minimum ialah 60 hari untuk ibu namun tiada keperluan minimum untuk bapa. Faedah ini turut terpakai bagi ibu bapa yang mengambil anak angkat berusia dua tahun ke bawah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia AAGI Mohd Syukri Ahmad Sudari berkata dasar baharu berkenaan akan melibatkan lebih 900 pekerja di Malaysia selain terus memperkukuh kedudukan AXA sebagai syarikat yang cakna warga kerjanya.

"AXA memberi jaminan pekerja yang memanfaatkan dasar ini boleh kembali kepada peranan bersamaan dengan struktur gaji dan faedah yang sama.

"Bagi membantu pekerja mengimbangi tuntutan kerjaya dan kehidupan peribadi, AXA akan menawarkan waktu kerja fleksibel kepada setiap ibu bapa selain memberi sokongan sebelum, semasa dan selepas tempoh cuti bersalin," katanya. - BERNAMA

AXA Group

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain