suria

Pelajar Malaysia Sebahagian Pasukan Temui Lubang Hitam

NGC 1448, galaksi yang dilihat dari NuStar menerusi pelepasan Sinar X. Foto Carnegie-Irvine Galaxy Survey/NASA/JPL-Caltech​

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) berusia 27 tahun dari Muar merupakan sebahagian daripada pasukan dalam penemuan bukti kewujudan lubang hitam yang amat besar di galaksi, terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari Bumi.

Nur Adlyka Ainul Annuar membentangkan penemuan pasukannya pada Ahad dalam satu kertas kerja bertajuk "Black Holes, Green Galaxies, Old Stars & NuSTARs" pada mesyuarat Persatuan Astronomi Amerika ke-229.

Pasukan itu menggunakan maklumat daripada Teleskop Spektroskopi Nuklear (NuSTAR) di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dengan menumpukan satu galaksi bernama NGC 1448, di mana bukti lubang besar hitam ditemui.

"Lubang hitam ini begitu hampir dengan Bima Sakti, tetapi ia kekal bersembunyi daripada kita sehingga kini. Mereka seperti raksasa yang bersembunyi di bawah katil anda," kata Nur Adlyka.

Tambahnya, lubang hitam yang amat besar itu kadang-kadang tidak kelihatan di sebalik gas dan debu, sambil menambah NuStar dapat mengesan tenaga yang tinggi dari pelepasan sinar X.

Teman sepasukannya, Peter Boorman dari Universiti Southampton menemui bukti satu lagi lubang hitam yang amat besar di galaksi lain, dinamakan sebagai IC 3639.

Bercakap mengenai penemuan berkenaan, Nur Adlyka berkata, NGC 1448 merupakan salah satu lubang besar hitam yang paling banyak dikaburi sehingga kini.

Mengenai latar belakangnya, Nur Adlyka dalam kenyataan menerusi emel kepada The Star berkata, beliau tertarik dengan angkasa lepas sejak kecil sambil menambah bahawa beliau pada usia 13 tahun mula menyedari mahu menjadikan astrofizik sebagai kerjaya.

"Saya mendapat inspirasi selepas menonton filem Armageddon dan Apollo 13," kata Nur Adlyka yang sedang melanjutkan pengajiannya dalam PhD bagi Astrofizik di Pusat Ekstragalaksi Astronomi di Universiti Durham di United Kingdom.

Pemegang biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu menambah, astrofizik merupakan bidang sains yang bagus di mana banyak penemuan menarik boleh dilakukan.

Jelas Nur Adlyka, beliau tidak sabar untuk pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajiannya pada Julai ini.

"Saya benar-benar mahu pulang ke tanah air dengan menawarkan pengalaman penyelidikan saya," katanya.

Nasa, NuStar, Nur Adlyka Ainul Annuar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain