suria

Pelantikan Shahrir Bukan Kerana Masalah Kewangan Felda - Razali

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menyangkal dakwaan pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana masalah kewangan yang dihadapi Felda di bawah kepimpinan Tan Sri Isa Samad.

Beliau menjelaskan tempoh perkhidmatan Isa sebagai Pengerusi Felda tamat pada 31 Dis lepas dan beliau juga masih kekal sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV). 

"Tidak timbul ada dakwaan bahawa ia merupakan satu hukuman (terhadap Isa) atau pengakuan bahawa Felda menghadapi masalah kewangan di bawah pentadbiran Isa," katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.

Razali berkata beliau yakin pengalaman luas Shahrir dalam pentadbiran kerajaan serta beberapa jawatan lain termasuk Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), akan dimanfaatkan sepanjang pelantikannya sebagai Pengerusi Felda.

Menurutnya beliau telah bertemu dengan Shahrir yang memberi banyak pandangan khususnya berkaitan soal kewangan dan pengauditan Felda serta pelaburan Felda.

Mengenai cadangan Shahrir untuk melaksanakan penstrukturan semula model perniagaan Felda, Razali berkata beliau menyokong penuh cadangan itu bagi memenuhi harapan para peneroka.

"Felda melakukan aktiviti yang bukan sahaja dalam sektor perladangan, tetapi juga soal pelaburan, pendidikan dan komuniti.

"Jadi sudah tentu perkara-perkara ini perlu dilaksanakan dengan lebih tersusun dan rapi, malah beliau memberi penekanan kepada soal perumahan generasi baharu Felda," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Shahrir  yang juga anggota parlimen Johor Bahru sebagai pengerusi Felda yang baharu pada Jumaat lepas. - BERNAMA

Artikel Lain