suria

Lelaki Filipina Ditahan Miliki Kad Pengenalan Malaysia

PUTRAJAYA: Seorang pengawal keselamatan warganegara Filipina ditahan di kawasan sebuah pangsapuri di Segambut, Kuala Lumpur awal Isnin kerana disyaki memiliki kad pengenalan rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Yazid Ramli berkata penahanan lelaki berusia 33 tahun itu merupakan tangkapan ketiga di lokasi sama Operasi Semak Kad Pengenalan (OPS ID) tahun lepas.

Lelaki itu, yang mendakwa berasal dari Sabah, didapati memiliki kad pengenalan seorang warga Malaysia yang beralamat di Sabah, katanya dalam kenyataan di sini.

Semasa siasatan lanjut, lelaki berkenaan mengaku berasal dari Basilan, Filipina dan sudah sebulan berada di Malaysia selain mendakwa menerima kad pengenalan berkenaan daripada seorang kawan.

"Dia mengaku masuk ke Malaysia melalui Sandakan seterusnya datang ke Kuala Lumpur melalui klia2 dengan menggunakan pasport antarabangsa Filipina, yang telah dibuangnya sebaik sahaja mendapat kad pengenalan," katanya.

Dalam operasi lima jam itu yang berakhir 3 pagi tadi, JPN turut menahan sepasang warganegara Filipina berusia 41 dan 32 tahun kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu di sebuah pangsapuri di Segambut. 

"Semasa pemeriksaan dijalankan, pasangan itu (bukan suami isteri) cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah yang didiami.

"Bagaimanapun, mereka dapat ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati mereka menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di Malaysia sebagai pekerja binaan dan pembantu restoran di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara," katanya.

Mohd Yazid berkata pasangan itu mendakwa kad pengenalan palsu itu dibeli di Kota Kinabalu kira-kira dua bulan lepas dengan harga RM1,200 setiap satu.

Kesemua suspek akan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(o) dan Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki kad pengenalan milik orang lain dan menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. - BERNAMA

Mohd Yazid Ramli, JPN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain