suria

MCA Bantah Himpunan 355

Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR: MCA menyuarakan bantahan terhadap rancangan PAS untuk mengadakan himpunan bagi meningkatkan sokongan terhadap pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, himpunan yang dikenali sebagai Himpunan 355 itu boleh menyebabkan perpecahan antara kaum dan boleh dipanggil sebagai rang undang-undang "yang memecah-belahkan".

"Kita membantah himpunan itu jika ia boleh mencetuskan ketegangan dan menyebabkan perpecahan di negara ini. Adalah penting bagi kita bertindak secara bertanggungjawab agar ia mengikut undang-undang dan peraturan," katanya pada Ahad.

Bertemakan ungu, Himpunan RUU355 yang bakal diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada 18 Februari depan, dijangka menarik perhatian kira-kira 300,000 peserta.

Ia diadakan untuk meningkatkan kesedaran ke arah mendapatkan sokongan bagi membentangkan RUU tersebut.

RUU itu dijangka dibentangkan semula apabila Parlimen bersidang semula pada Mac 2017.

MCA dijangka membuat pembentangan kepada Kabinet, susulan laporan oleh biro perundangannya mengenai RUU berkenaan.

"MCA akan menentangnya sekiranya ia tiada dalam semangat Perlembagaan dan boleh menyebabkan perpecahan," tegas Tiong Lai.

RUU itu dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibacakan buat kali kedua pada November lalu, bagi memasukkan beberapa pindaan.


MCA, RUU 355

Artikel Lain