suria

UM Hadapi Tempoh Sukar

PETALING JAYA: Kakitangan akademik merupakan mangsa terbaharu susulan langkah penjimatan Universiti Malaya (UM) yang juga institusi pengajian tinggi utama di negara ini.

Langkah penjimatan itu berlaku kerana pengurangan dana kerajaan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), yang sekali gus menyebabkan beberapa kemudahan di universiti dipinggirkan.

Kini, ramai kakitangan terpaksa dilepaskan, dan ia membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan kualiti pendidikan di UM akan terjejas.

Menurut sumber, kebanyakan kakitangan yang mana kontraknya telah berakhir tidak diperbaharui, dan hanya segelintir dikekalkan.

Ramai pelajar dan kakitangan akademik juga mengadu bahawa "beberapa pensyarah cemerlang diberitahu untuk berundur".

UM merupakan salah satu daripada kebanyakan IPTA yang berdepan dengan cabaran pengurangan dana kerajaan.

Ia juga universiti yang mencatatkan pengurangan dana kedua tertinggi.

Persatuan Kakitangan Akademik UM (Pkaum) ketika dihubungi The Star berkata, ia tidak dapat memberikan jumlah sebenar kakitangan akademik yang dilepaskan.

Setakat 31 Disember 2015, terdapat 1,430 kakitangan tetap dan 728 kakitangan kontrak.

Kebanyakannya, terutama warga asing tidak diperbaharui kontrak mereka.

"Ia merupakan waktu yang sukar," kata Setiausaha PKaum, Aznijar Ahmad Yazid sambil menambah bahawa hanya kakitangan yang benar-benar diperlukan diperbaharui kontraknya.

Universiti itu memperoleh RM638 juta pada 2015 dan dana itu dikurangkan sebanyak 27.3 peratus tahun lalu, sebelum pemotongan peruntukan itu mencecah 20.2 peratus tahun ini.

Aznijar yang merupakan seorang pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UM berkata, pemotongan itu disifatkan tidak adil dan kerajaan seharusnya sentiasa mengutamakan pendidikan.

Beliau menambah, pengurangan tersebut turut menjejaskan operasi universiti.

Menurut sumber, kakitangan yang dikekalkan tertakluk kepada semua jenis langkah pengurangan kos, seperti mengehadkan mereka kepada penggunaan satu rim kertas pencetak setahun.

Jelas sumber berkenaan, mereka juga terpaksa membeli alat tulis sendiri.

Aznijar berkata, langkah itu selari dengan matlamat UM untuk mengamalkan operasi 'tanpa kertas' dan beliau lebih bimbang mengenai pemotongan bajet itu memberikan kesan kepada kualiti pendidikan dan penjagaan kemudahan seperti makmal dan dewan kuliah.

Beliau percaya UM akan berupaya menangani cabaran ini dengan mendapatkan sumber dana tambahan.

"Jika dibandingkan dengan universiti lebih kecil, kami berada pada kedudukan yang sedikit berbeza.

"UM mempunyai dana lain, selain yang diberikan Kementerian Pendidikan Tinggi," kata Aznijar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang mengulas perkara itu berkata, IPTA menjadi terlalu bergantung kepada dana kerajaan, sambil menambah bahawa ia merupakan sebahagian kecil daripada apa yang diberikan sedekad yang lalu.

UM, Aznijar Ahmad Yazid

Artikel Lain