suria

Dakwaan Buah-Buahan Dalam Tin Ada Virus HIV Tidak Berasas

KUALA LUMPUR: Dakwaan mengenai buah-buahan dalam tin daripada Thailand mengandungi virus Human Immunodeficiency Virus (HIV) adalah tidak berasas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata HIV adalah virus yang hidup dalam cecair badan dan tidak boleh hidup dalam makanan dalam tin yang telah melalui proses rawatan haba pada suhu tinggi.

Katanya Kementerian Kesihatan juga telah mendapatkan pengesahan daripada kedutaan Thailand di Malaysia bahawa berita tersebut adalah tidak berasas.

"Kementerian sentiasa mengawal semua produk makanan import untuk memastikan makanan adalah selamat serta sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya orang ramai yang mempunyai kemusykilan mengenai isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq.-Bernama

Buah-Buahan Dalam Tin, Thailand

Artikel Lain