suria

Kes Khatan: Rani Kulup Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan bapa kepada budak yang kepala kemaluannya terputus ketika prosedur berkhatan,  menggesa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas terhadap doktor yang tidak berkelayakan melakukan prosedur berkhatan di seluruh negara.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah berkata doktor perlu benar-benar terlatih sebelum melakukan prosedur itu.

"Apa yang berlaku pada anak Aliakbar (Pakker Mohammad) tidak sepatutnya berulang. Ini merupakan perkara serius kerana budak lelaki terbabit akan menderita ketidakupayaan kekal," katanya pada sidang media selepas membuat laporan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, Jumaat.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay berkata NGO berkenaan juga akan menghantar memorandum kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri berhubung perkara itu.

"Kami mendapat tahu bahawa polis mengesahkan tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap doktor terbabit kerana tiada unsur jenayah dalam kes itu dan kes ditutup. Kenapa kes ditutup sedangkan budak lelaki itu masih menanggung penderitaan?" katanya.

Aliakbar, 40, yang turut hadir pada sidang media itu berkata sehingga kini doktor yang melakukan prosedur berkhatan ke atas anaknya tidak tampil memohon maaf kepada dirinya dan keluarganya.

"Selepas 22 hari sejak insiden itu berlaku, seluruh keluarga kami masih trauma. Dia merupakan anak tunggal anak saya. Saya berharap pihak berkuasa memandang serius perkara ini," katanya.

Pada 15 Disember tahun lepas, kepala kemaluan budak lelaki itu terputus secara tidak sengaja oleh doktor semasa melakukan prosedur berkhatan di sebuah klinik swasta dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan penyambungan semula. 

Menurut Aliakbar, anaknya telah menjalani beberapa surgeri dan perlu menjalani beberapa lagi surgeri untuk rawatan pemulihan. - BERNAMA

Artikel Lain