suria

Lepasan Kolej Vokasional Boleh Mohon Kemasukan IPT

KUALA LUMPUR: Lepasan kolej vokasional yang memiliki Diploma Vokasional Malaysia (DVM) boleh memohon untuk kemasukan ke insitusi pendidikan tinggi seluruh negara menerusi laluan teknikal dan vokasional.

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata kemasukan itu boleh dibuat dengan memenuhi syarat yang ditetapkan MQA iaitu pengalaman kerja sekurang-kurangnya sehingga berumur 21 tahun dan mendapat sijil Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

"Selain itu, lepasan kolej vokasional yang menerima sijil DVM juga boleh melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi secara serta merta yang boleh dipertimbangkan dengan syarat.

"Syarat tersebut ialah lulus kesetaraan Sijil Pelajaran Malaysia-Sijil Vokasional Malaysia (SPM-SVM) yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran dan syarat-syarat lain yang dipersetujui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi," kata agensi itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu sebagai mengulas artikel dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini bertajuk 'Lepasan KV Tanpa SPM Tak Layak Ikuti Program Ijazah' yang melaporkan mengenai laluan lepasan kolej vokasional untuk memasuki universiti awam dan kegusaran ibu bapa mengenai masa depan anak-anak mereka yang menuntut di kolej vokasional.

MQA berkata lepasan kolej vokasional masih berpeluang melanjutkan pengajian walaupun memasuki alam pekerjaan lebih awal kerana sijil APEL yang dikeluarkan MQA sebagai menggantikan SPM diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi mengenai isu kemasukan lepasan kolej vokasional ke IPT untuk menyambung pelajaran peringkat ijazah sarjana muda.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas mengenai hasil perbincangan itu, namun positif ia akan membuka laluan yang lebih mudah untuk lepasan kolej vokasional untuk ke IPT.

"Jadi mengenai kegusaran pelajar atau pun ibu bapa sebenarnya mereka tidak perlu risau kerana laluan untuk melanjutkan pelajaran masih ada," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kolej Vokasional, IPT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain