suria

Punca Kebakaran Hospital Bahagia Masih Disiasat

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak masih menyiasat punca kebakaran wad lelaki di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini, Khamis.

Exco Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kawasan kebakaran telah ditutup dan tidak boleh digunakan sehingga siasatan bomba selesai.

Dr Mah berkata kebakaran dipercayai bermula dari bahagian belakang wad bersebelahan dewan makan iaitu di ruangan yang digunakan sebagai kawasan simpanan sementara untuk menyimpan tilam, katil dan almari yang dalam proses pelupusan.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah hari semalam (Khamis), anggota kesihatan yang menggunakan alat pemadam api mudah alih dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) hospital yang menggunakan pili bomba terdekat, berjaya memadam kebakaran itu.

"Namun, kebakaran di siling dan atap tidak dapat dikawal hingga merebak ke bahagian atap tandas dan sebahagian atap dewan makan.

"Bagaimanapun, bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 1.35 tengah hari," katanya dalam sidang media selepas meninjau wad berkenaan.

Menurut Dr Mah, ketika kejadian kesemua 21 pesakit di wad 11 itu yang merupakan pesakit yang sudah stabil, berjaya dipindahkan ke wad bersebelahan dan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Sementara itu, Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Norhayati Nordin berkata pihaknya akan memberi khidmat kaunseling kepada semua mangsa termasuk pesakit yang menyaksikan kejadian serta pekerja hospital tersebut sekiranya mereka trauma ekoran kebakaran berkenaan.

"Kami telah menubuhkan pasukan Psychological First Aid (PFA) yang terdiri daripada dua kaunselor, satu pakar psikologi klinikal dan 10 pakar psikiatri. Kita akan periksa kesemuanya secara berkumpulan," katanya sambil menambah terdapat 1,800 katil untuk pesakit di hospital itu.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat 950 pesakit lelaki dan 474 pesakit perempuan yang ditempatkan di bangunan hospital yang berusia hampir 57 tahun itu.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Datuk Yahaya Madis berkata wad 11 lelaki yang menempatkan 21 pesakit terpaksa dikosongkan selepas bumbung bangunan yang menempatkan wad itu terbakar.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah stor menyimpan barang lama yang terletak di belakang wad berkenaan. - BERNAMA

Hospital Bahagia

Artikel Lain