suria

Polis Tahan Lelaki, Rampas Dadah Bernilai RM1.5 Juta

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab (tiga, kanan) bersama Timbalannya Datuk Roslee Chik (tiga, kiri), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC Zainol Samah (dua, kanan) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Supt Maidu Abu Bakar (dua, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Jumaat. -fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Seorang penjual kereta ditahan dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di kawasan sebuah apartment di Gelugor, di sini, Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang ketika berjalan menuju ke rumahnya selepas memarkir kereta di tempat letak kenderaan apartment berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg yang dibawa lelaki itu, polis menemui tujuh ketulan mampat dadah syabu seberat 7.3 kilogram, tiga bungkusan berisi 15,000 biji pil Eramin 5 dan empat bungkusan berisi 20,000 pil ekstasi.

"Siasatan awal polis mendapati ia (dadah yang dirampas) adalah untuk pasaran di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar sebelum majlis serah terima tugas Ketua Polis Pulau Pinang di sini Jumaat.

Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta Honda Accord, dua kereta BMW dan pelbagai barang kemas bernilai RM764,120 daripada lelaki terbabit.

Abdul Ghafar berkata siasatan juga mendapati lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan positif dadah itu mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa terutama negara jiran.

Sementara itu pada majlis berkenaan Datuk Chuah Ghee Lye menerima tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu menggantikan Abdul Ghafar yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Chuah, yang berkhidmat dalam polis sejak 40 tahun lepas sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman manakala Abdul Ghafar, yang berkhidmat selama 10 bulan di Pulau Pinang, menggantikan Datuk Seri Jalaluddin Abdul Rahman yang bersara wajib tahun lalu.


Majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang   disaksikan Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Artikel Lain