suria

Ironman Ceriakan Hari Pertama SK Sungai Gelugor

GEORGE TOWN: Hari pertama sesi persekolahan 2017 di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor, di sini ceria dengan kehadiran watak adiwira komik Avengers, Ironman menyambut mereka.

Ramai pelajar khususnya murid tahun satu yang hadir dengan muka muram pagi tadi terus bertukar gembira apabila melihat adiwira yang berpakaian kostum penuh berwarna merah dan berlampu di badan dan tapak tangan.

Ibu kepada sepasang kembar, Norazimah Wan Teh, 35, berkata anak-anaknya yang memulakan sesi persekolahan baru ini berasa teruja dengan kehadiran individu berpakaian Ironman yang menyambut mereka.

Katanya, pasangan kembar Nur Aufa Taqiyah Abdul Razak dan adiknya, Nur Aufa Hafiya, masing-masing tujuh tahun, sangat gembira dan sempat memberitahu abang mereka, Muhammad Muttaqin, 11, bahawa sekolah mereka mempunyai Ironman. 

"Anak saya yang hanya dibezakan 11 minit sangat teruja dengan kehadiran Ironman dan sempat bergambar dengan hero itu sebelum masuk ke kelas," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Selasa.

Menurutnya, kehadiran watak adiwira itu dapat membantu mengurangkan tekanan hari pertama persekolahan dalam kalangan kanak-kanak.

Terdahulu, Guru Besar SK Sungai Gelugor, Fairus Ayob berkata idea membawa Ironman sebagai penyambut murid-murid baru itu adalah sebagai gimik supaya mereka tidak rasa gementar untuk hadir ke sekolah.

Katanya, selepas lima minggu bercuti, ramai murid-murid akan rasa malas untuk ke sekolah dan watak Ironman dibawa supaya mereka lebih seronok. 

"Murid-murid baru ini selalunya akan rasa malu dan gementar untuk hadir ke sekolah pada hari pertama dan ini adalah tahun pertama watak Ironman dijemput bagi memberi semangat kepada murid-murid untuk hadir ke sekolah," katanya.

Menurutnya, impak kehadiran Ironman itu jelas apabila tiada seorang murid pun yang menangis ketika hadir di sekolah pada pagi Selasa.

Fairus berkata SK Sungai Gelugor mempunyai 1,014 murid dan daripada jumlah itu, 177 orang adalah murid tahun satu.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shaari Osman, seramai 20,594 murid mendaftar bagi memulakan sesi persekolahan tahun satu pada tahun ini melibatkan 271 sekolah rendah di negeri ini.

SK Sungai Gelugor, Ironman

Artikel Sebelum

Dua Lelaki Didakwa Bunuh Rakan

Artikel Lain