suria

Subsidi RM11 Juta Bagi Tambang Pengangkutan Laut Di Sabah, Sarawak Diteruskan

LABUAN: Kerajaan persekutuan terus mengekalkan pemberian subsidi tahunan RM11 juta bagi menampung kos tambang penumpang pengangkutan laut yang berulang alik dari Labuan ke tanah besar Sabah dan Sarawak pada tahun ini, walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Peruntukan yang disalurkan sejak 2014 itu adalah pemberian subsidi sebanyak 50 peratus bagi tambang penumpang feri dan bot laju.

Perbadanan Labuan dalam kenyataan kepada Bernama hari ini berkata subsidi itu bertujuan mengurangkan beban tambang yang ditanggung penumpang (warganegara Malaysia) yang berulang alik menggunakan pengangkutan laut dari pulau bebas cukai itu dan ke Labuan.

Laluan bersubsidi adalah dari Labuan-Menumbok-Labuan, Labuan-Kota Kinabalu-Labuan, Labuan-Sipitang-Labuan, Labuan-Limbang-Labuan dan Labuan-Lawas-Labuan.

Kerajaan menghentikan pemberian subsidi kepada kenderaan komersial yang mengangkut barangan menggunakan feri sejak tahun lalu, selepas menimbangkan kegagalan mereka menurunkan harga barang di pulau itu.-- Bernama

Perbadanan Labuan, Sabah, Sarawak

Artikel Lain