suria

Perkhidmatan Tren Intercity Di Wilayah Pantai Timur Masih Alami Gangguan - KTMB

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Intercity di Pantai Timur masih mengalami gangguan disebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di KM392.5 antara Bukit Abu-Dabong, Kuala Krai.

Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Ridhwan Arshad berkata akibat kejadian itu, semua perkhidmatan tren di antara laluan Dabong-Kuala Krai-Dabong masih lagi digantung sehingga dimaklumkan kemudian.

"Kerja membaik pulih landasan sedang giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Sementara itu, katanya, bagi perkhidmatan Ekspres Timuran No.26 (JB Sentral-Tumpat), perkhidmatan tren hanya disediakan sehingga Stesen Gua Musang dan para penumpang akan meneruskan perjalanan dari stesen Gua Musang ke Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat menggunakan bas yang disediakan oleh pihak KTMB.

Penumpang ke stesen Dabong pula akan menggunakan tren tempatan, katanya.

Menjelas lanjut, Ridhwan berkata bagi perkhidmatan Ekspres Timuran No. 27 (Tumpat-JB Sentral) pula, para penumpang akan menaiki tren dari stesen Tumpat ke stesen Kuala Krai dan menaiki bas menuju ke stesen Gua Musang.

Dari Gua Musang, mereka akan meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral menggunakan tren.

KTMB juga menjangkakan kelewatan tren melebihi dua jam dan para penumpang boleh mendapatkan pemulangan tambang atau menukar semula tarikh perjalanan.

"KTM Berhad memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi. Untuk maklumat lanjut sila hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau layari laman sesawang kami di www.ktmb.com.my," katanya.
tren Intercity, banjir, KTMB

Artikel Lain