suria

Serangan Istanbul: Tiada Rakyat Malaysia Terlibat - Wisma Putra

Polis memantau keadaan di luar kelab Reina di Turki. Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Reina, sebuah kelab malam di Istanbul yang meragut 39 nyawa serta mencederakan 69 orang. 

Wisma Putra dalam kenyataan berkata kerajaan Malaysia, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Turki dalam menentukan jika ada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan itu. 

"Setakat ini, tiada pengesahan rakyat Malaysia antara terlibat dalam kejadian ini. Kedutaan juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Turki dan rakyat Malaysia di sana termasuk para pelajar yang menuntut di Istanbul," kata kenyataan itu.  

Wisma Putra juga mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau berhasrat mengadakan lawatan ke Istanbul dan bandar-bandar utama lain di Turki berhati-hati terhadap keselamatan diri selain merujuk kepada nasihat keselamatan Republik Turki. 

"Kerajaan Malaysia merakamkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan tersebut dan kerajaan Republik Turki, serta berharap mereka yang cedera akan cepat pulih," kata Wisma Putra.  

Menurut laporan antarabangsa, kelab malam itu diserang seorang lelaki bersenjata ketika pengunjung dalam kelab malam itu menyambut tahun baharu. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain