suria

Tun M Gagal Bangunkan Greater KL - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal untuk membangunkan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya (Greater Kuala Lumpur) walaupun menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Menurut Tiong Lai, banyak perubahan telah dilakukan untuk kemajuan Greater Kuala Lumpur melibatkan soal pengangkutan menerusi projek MRT dan lanjutan laluan LRT di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini kerana Perdana Menteri percaya sebuah negara membangun memerlukan sebuah bandar yang maju.

"Dr Mahathir hanya mempromosikan pembangunan Putrajaya tetapi pembangunan itu lebih dianggap sebagai lokasi pusat eksekutif berbanding bandar yang hebat," kata beliau.

Bercakap ketika ditemui di Karnival Tahun Baharu 2017 di Bandar Tun Razak pada Ahad, Tiong Lai berkata, Bandar Tun Razak merupakan lokasi istimewa yang menyaksikan penduduk pelbagai kaum tinggal bersama secara harmoni.

"Walaupun cuaca hujan, saya melihat rakyat berbilang kaum datang menjayakan karnival ini di bawah slogan '1Masyarakat, 1Matlamat, Teguh Bersama'," katanya.

Tiong Lai menambah, sebahagian kejayaan itu adalah tumpuan yang diberikan oleh Pengerusi MCA Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen dan usaha beliau berkhidmat kepada masyarakat setempat.

"Beliau (Yin Keen) sangat komited dengan masyarakat akar umbi dan saya meminta penduduk untuk mengundi Barisan Nasional supaya kita bergerak bersama memastikan keamanan dan kestabilan di bandar ini," kata beliau.

Selain itu, Tiong Lai berkata, beliau berharap karnival tersebut boleh menggerakan peranan semua pihak di Bandar Tun Razak dan membawa pembaharuan.

"Saya percaya jika kita bersatu, kita mampu mengubah Bandar Tun Razak menjadi tempat yang lebih baik di mana semua orang boleh tinggal secara harmoni dan aman," katanya.

Artikel Lain