suria

IRIMM Sedia Bantu Keluarga Kanak-Kanak Terpotong Kemaluan

KUALA LUMPUR: Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) sedia membantu mendapatkan dana untuk menampung kos rawatan kanak-kanak berumur sembilan tahun yang mengalami komplikasi selepas berkhatan di klinik swasta di sini baru-baru ini.

Presidennya, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata berdasarkan lawatan pihaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini mendapati kanak-kanak lelaki berkenaan memerlukan rawatan segera. 

"Setakat ini keluarga kanak-kanak itu menyatakan mereka belum mendapat apa-apa maklumat daripada pihak hospital mengenai pembedahan kanak-kanak itu, kos atau jika perlu rawatan di luar negara. 

"Jadi kita harap pihak hospital dapat memberi penjelasan segera kepada keluarga mangsa bagi membolehkan mereka membuat perancangan lanjut, termasuk jika perlu kumpul dana untuk rawatan susulan bagi mengelak kemungkinan kesan lebih buruk terhadap masa depan kanak-kanak itu," katanya kepada Bernama. 

Pada 15 Disember lepas, kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di HKL setelah kepala kemaluannya terputus semasa prosedur berkhatan menggunakan gunting di sebuah klinik swasta di Jalan Ipoh.

Keluarga mangsa kemudian menghantar anak mereka ke HKL pada petang kejadian bagi menyambung semula kepala kemaluan yang terputus, namun selepas hampir seminggu, kemaluan mangsa bertukar hitam. 

Dalam kunjungi itu, wakil IRIMM turut melawat seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun yang juga terpaksa mendapatkan rawatan di HKL kerana terpotong kepala kemaluan ketika berkhatan menggunakan teknik laser di sebuah klinik di Cheras Utama, Kajang pada 20 Disember lepas. 

Mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, sebelum dirujuk ke HKL.

Dalam pada itu, IRIMM turut menggesa tindakan sewajarnya diambil terhadap dua pengamal perubatan terlibat supaya kejadian serupa tidak berulang. 

"Kita mahu tahu status doktor terlibat, sama ada layak menjalankan kerja-kerja berkhatan," kata Amir Amsaa. 

Katanya, IRIMM juga mengalu-alukan cadangan agar pengamal perubatan swasta atau awam menjalani latihan bagi melakukan kerja berkhatan. 

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setelah dibuat pembedahan, kedua-dua kanak-kanak itu boleh membuang air kecil, namun buat masa ini masih terlalu awal untuk menentukan kekurangan yang mungkin mereka alami apabila dewasa kelak.

IRMM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain