suria

NGO Gesa SPRM Dedah Siasatan Perjanjian Air Selangor, Splash

SHAH ALAM: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor untuk mendedahkan status siasatan berhubung perjanjian peralihan antara kerajaan negeri dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash).

Ketiga-tiga pihak terbabit iaitu Suara Malaysia, Batas Malaysia dan Gapenas Selangor akan membuat laporan kepada Biro Aduan Awam yang dibawah Jabatan Perdana Menteri sekiranya SPRM Selangor gagal berbuat demikian.

Jurucakap kumpulan tersebut, Zamil Ibrahim yang merupakan penasihat Suara Malaysia berkata, mereka telah melaporkan kepada SPRM Selangor tentang perjanjian air antara kerajaan Selangor dan Splash 43 hari lalu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

"Kami memberi masa 14 hari kepada SPRM Selangor untuk menjelaskan tuntutan dan jika tidak kami akan melaporkan perkara ini kepada biro," ujarnya.

Beliau menjelaskan surat rasmi telah diserahkan kepada SPRM negeri untuk meminta laporan siasatan terkini.

Ujar Zamil, laporan awal dibuat kerana terdapat perbezaan besar jumlah yang ditawarkan kepada Splash antara bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan Menteri Besar kini, Datuk Seri Azmin Ali.

"Kami merasakan tawaran Azmin menguntungkan Splash dan bukan kepada pengguna, dan perkara ini tidak betul," katanya.

Zamil berkata, kumpulan NGO terbabit telah menyatakan dalam laporannya tentang tuntutan kepada SPRM Selangor untuk menyiasat sebab tawaran peralihan Splash berjumlah RM2.7 bilion berlainan dengan tawaran Khalid iaitu RM250.6 juta.

"Kami telah memberikan segala butiran angka dan dokumen kepada SPRM Selangor," tambahnya.

Beliau mendakwa, SPRM Selangor masih lagi belum memanggil Khalid, Azmin atau Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dari pihak Splash untuk disoal siasat.

"Tan Sri Khalid sebelum ini menyatakan kesediaan untuk tampil ke pejabat SPRM pada bila-bila masa, tetapi mengapa beliau masih belum dipanggil," soalnya.

Dalam pada itu, Zamil meminta SPRM Selangor agar tidak memandang mudah isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai.

"Kami juga tidak mahu SPRM hilang kepercayaan dalam kalangan orang awam kerana tidak bertindak benar," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain