suria

Tamat Kontrak Vendor myIMMs Jika Tak Penuhi Piawaian - TPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan teragak-agak membatalkan kontrak vendor Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) jika perkhidmatan yang diberikan gagal menepati piawaian yang ditetapkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dan akan memberi tempoh kepada pihak vendor terbabit untuk memperbaiki sistem biometrik itu.

"Kami akan lihat perjanjian yang telah ditandatangani dan kami ikut jangka masa yang telah ditetapkan dalam perjanjian.

"Saya tidak fikir kami boleh lanjutkan lagi tempoh untuk mereka memperbaiki (myIMMs) kerana yang penting adalah perkhidmatan kepada rakyat dan pelancong yang masuk ke negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen, di sini Jumaat.

Walaupun bayaran penuh telah dibuat oleh JIM untuk sistem tersebut, namun terdapat klausa dalam perjanjian berkenaan yang membolehkan kerajaan mengenakan penalti terhadap vendor terbabit jika perkhidmatannya tidak memuaskan, katanya.

"Pihak JIM sedar mengenai masalah yang timbul dan cuba memperbaiki dari semasa ke semasa tetapi kami telah sampai ke peringkat di mana kami tidak boleh menerima lagi perkhidmatan oleh vendor tersebut," kata Ahmad Zahid.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 pada 21 November lepas menegur perkhidmatan myIMMs yang menelan belanja RM29.9 juta dan tidak menepati piawaian dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang boleh menjejaskan pencapaian objektifnya.

Selain itu, media turut melaporkan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama JIM, sering tergendala, dipercayai antara punca warga asing mudah membolosi pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Mengulas mengenai rancangan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) bagi menapis setiap warga asing sekali gus mencegah kemasukan pengganas ke Malaysia, Ahmad Zahid berkata, kementerian masih menunggu surat penerimaan sistem itu (LOA).

"APSS telah dimuktamadkan tetapi belum dilaksanakan, kami masih menunggu LOA  yang akan dikeluarkan dan kami harap ada pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Lain