suria

Ada Pemilik Wang Kertas Lama Tak Sedar Nilai Cecah RM80,000 Sekeping

Penganjur Malayan Banknotes Fair (MBF), Richard Lim menunjukkan wang kertas Amerika Syarikat yang belum dipotong pada pameran matawang pelbagai negara di sebuah pasar raya mega, Jumaat. Pameran berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini anjuran MBF itu mempamerkan pelbagai wang kertas, duit syiling dan koleksi setem dari pelbagai negara.

BUTTERWORTH: Mengumpul wang kertas atau syiling lama bukan sahaja satu hobi yang unik, malah merupakan sejenis pelaburan menguntungkan kerana harganya mampu mencecah puluhan ribu ringgit jika dijual.

Penganjur Malayan Banknote Fair, Richard Lim berkata sejak menganjurkan pameran wang lama tiga tahun lalu, beliau pernah berjumpa dengan pemilik yang mempunyai sekeping wang kertas lama bernilai kira-kira RM80,000.

"Beliau (pengumpul wang lama) itu tidak menyedari wang kertas lama yang dimilikinya berharga sangat tinggi sehinggalah dinilai oleh pakar penilai wang profesional.

Jika bertemu dengan kes seperti ini kami akan membantu pemilik itu menjual wang lama itu jika dia mahu menjualnya kerana kami ada jaringan (network) dengan peminat dan pengumpul wang lama," katanya kepada Bernama pada pameran Malayan Banknote di sebuah pasaraya di Perai dekat sini, Jumaat.

Richard berkata pengetahuan tentang cara menilai wang kertas lama sangat penting bagi memastikan pemilik tidak ditipu oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab semasa melakukan urusan jual beli.

Richard berkata pada pameran anjurannya, orang ramai boleh datang untuk melihat serta mendapatkan maklumat mengenai cara menyimpan dan menilai mata wang lama yang dimiliki.

"Kami menyediakan khidmat penilai profesional percuma. Tiada bayaran masuk dikenakan untuk pameran ini dan orang ramai boleh datang untuk menjual atau membeli wang lama jika ada menyimpannya," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai penganjuran pameran berkenaan orang ramai boleh hubungi penganjur di talian 018-9405221. 

Sementara itu seorang pengumpul mata wang lama yang ditemui pada pameran itu, G.Bala, 40, berkata beliau merupakan generasi kedua mengumpul wang lama yang diwarisi daripada bapanya.

Bala berkata, hobi mengumpul mata wang lama sangat menguntungkan dan beliau menumpukan sepenuh masa melakukannya sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

"Saya mampu peroleh keuntungan yang tinggi dan membolehkan saya membuka sebuah kedai di Ipoh, Perak dengan dibantu oleh empat orang pekerja," katanya.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain