suria

Zulkiple Kassim Panglima Tentera Darat Baharu

Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim dilantik mengantikan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada majlis Perbarisan Serah Menyerah Tugas dan Tongkat Kuasa Panglima Tentera Darat di Kem Sungai Besi pada Jumaat. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim pada Jumaat secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-26.

Zulkiple dilantik bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Majlis Serah Terima Tongkat Kuasa itu berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, Jumaat.

Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Panglima Medan Barat Tentera Darat selama kira-kira enam tahun menggantikan Raja Mohamed Affandi, 59, yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-19.

Zulkiple, 57, memulakan khidmatnya dalam Tentera Darat pada 7 April 1978 selepas menamatkan pengajiannya di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, England.

Berpengalaman lebih 38 tahun dalam pasukan, Zulkiple merupakan lulusan dari Defence and Strategic Studies Course di Army Command and Staff College, Australia.

Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia.

Sebelum ini, Zulkiple turut memegang beberapa jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya menjadi penasihat ketenteraan Kementerian Pertahanan pada 1998, Pengarah Ifantri (2001) serta Ketua Pengarah di Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (2005).

Zulkiple ketika ditemui Bernama berkata pengekalan tahap profesionalisme di kalangan anggotanya antara perkara yang akan ditekankan dalam kepimpinan beliau.

"Amanah ini saya akan pegang dengan penuh integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab," katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Artikel Berikut

Artikel Lain