suria

Nilai Hartanah Di Sekitar Stesen MRT Dijangka Naik

PETALING JAYA: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) bukan sahaja akan memberi nilai tambah baharu untuk rakyat dari segi pengangkutan, tetapi juga bakal menyaksikan kenaikan nilai hartanah di sekitar stesen berkenaan.

Bekas presiden  Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda ), Datuk Ng Seing Liong berkata, sambutan positif sudah dapat dilihat apabila Fasa Pertama laluan MRT SBK diumumkan.

"Apabila MRT beroperasi , kita menjangka kira-kira lima hingga 10 peratus peningkatan dalam nilai hartanah," kata Seing Liong.

Beliau juga menasihatkan mereka yang tinggal berdekatan dengan stesen untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan MRT.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim Loong berkata, harga hartanah yang mempunyai jaringan perhubungan yang baik akan menjadi lebih tinggi dan mempunyai nilai modal yang lebih baik.

"Hartanah yang terletak lebih dekat dengan laluan MRT dan stesen mampu menunjukkan peningkatan dari segi harga atau sewa," katanya.

Kim Loong menasihatkan mereka yang berhasrat untuk membeli hartanah tersebut supaya membuat kajian terhadap lokasi semua stesen MRT dan harga-harga rumah di kawasan berdekatan.

"Melakukan kajian sendiri adalah penting dalam mendapatkan rumah impian anda," katanya.

Beliau juga menggesa bakal pembeli agar memastikan mereka hanya membeli daripada pemaju yang mempunyai rekod yang baik dan kedudukan kewangan yang kukuh.

hartanah, MRT, Rehda

Artikel Lain