suria

Bayi Jantung Berlubang Perlu RM100,000 Kos Pembedahan, Rawatan Susulan

Pesakit jantung, Nur Aina Nasuha Mohd Zahir, 1, dipantau oleh ibunya Nor Azila Jaafar, 31, kelihatan lemah ketika mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara. Nur Aina memerlukan bantuan bagi kos rawatan untuk menjalani pembedahan 'pacemaker' dan rawatan susulan sekitar RM63,000. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan  yang menghidap masalah jantung berlubang, memerlukan bantuan kira-kira RM100,000 bagi membiayai pembedahan dan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Nur Aina Nasuha dari Penaga, Butterworth dikesan menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran jantung sempit sejak berusia sebulan oleh doktor di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah dan Hospital Pulau Pinang.

Menurut bapanya, Mohd Zahir Musa, 38, setiap bulan, beliau dan isteri Norazila Jaafar, 31, membawa anak ketiganya itu ke hospital di Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan sehingga dia berusia sembilan bulan.

"Kemudian kesnya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang sebelum dibawa ke IJN pada 18 November lepas," katanya kepada Bernama ketika ditemui di IJN di sini Khamis.

Pada 21 November lepas, Nur Aina menjalani pembedahan pertama di IJN dan doktor melakukan rawatan 'Ventricular Septal Defect Closure (VSD) bagi menutup jantung yang berlubang. Kanak-kanak itu dijadualkan menjalani pembedahan kali kedua untuk memasukkan 'pacemaker' ke dalam badannya pada Jumaat.

Mohd Zahir berharap agar pembedahan itu berjalan lancar dan berjaya.

"Saya mahu yang terbaik untuk anak saya, tak sanggup tengok keadaan dia sekarang mengalami kesakitan," katanya.

Mohd Zahir yang bekerja sebagai mekanik di Penaga hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan dan wang itu tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan susulan anaknya itu.

Beliau mempunyai dua lagi anak perempuan yang masih bersekolah Nur Aulia Maisara, 10, dan Nur Iman Qhaisyara, 7.

Beliau amat berharap sumbangan orang ramai dapat meringankan beban mereka bagi menampung pembedahan dan rawatan susulan anaknya itu.

Nur Aina ialah antara pesakit yang mendapat pembiayaan daripada IJN Foundation, bagaimanapun dana tambahan diperlukan dan boleh disalurkan kepada yayasan itu.

Pacemaker adalah alat pacu jantung (peranti) yang diletakkan di dada atau perut untuk membantu mengawal ritma jantung yang tidak normal.

Peranti ini menggunakan elektrik untuk menggerakkan jantung berdegup secara normal.

Peranti ini dapat mengelakkan pesakit daripada keletihan, sesak nafas atau pengsan, malah sekiranya semakin parah, boleh menyebabkan kematian.

Mereka yang berhasrat untuk membantu kanak-kanak ini boleh menghulurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank 564258577396 atas nama IJN Foundation atau hubungi Eksekutif Kanan, Pentadbiran dan Kewangan IJN Foundation, Siti Fairus Abdul Mohamed di talian 03-26178200 sambungan 3196 atau 019-6032942 untuk pengesahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain