suria

Sultan Terengganu Mahu Umat Islam Elak Pertelingkahan, Tidak Berpuak-Puak

Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) dan Sultanah Nur Zahirah turut berselawat ketika berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Isnin. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (kiri). -fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam supaya mengelak sebarang bentuk pertelingkahan sesama sendiri dan menjauhi amalan berpuak-puak.

Baginda bertitah umat Islam perlu mengamalkan sikap terbuka dan bertoleransi supaya dapat hidup aman damai dan saling hormat menghormati agar diberkati Allah S.W.T.

"Dengan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah', wajarlah kita menjadikan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai contoh terbaik.

"Dengan ketinggian peribadi dan keluhuran akhlak serta keistimewaan, Rasulullah S.A.W dapat membentuk umat manusia.

"Baginda tidak menggunakan kekerasan tetapi mengubah manusia dengan memberikan contoh ikutan yang baik dengan semangat ukhuwah, kasih sayang serta prihatin kepada soal-soal kebajikan masyarakat sehingga terbentuknya sebuah negara Islam yang berdaulat di kota Madinah," titah baginda ketika merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu di sini, Isnin.

Baginda bertitah Rasulullah S.A.W telah meninggalkan kepada umat manusia dengan dua warisan yang kekal hingga ke akhir zaman iaitu al-Quran dan Sunnah.

"Justeru beta mengingatkan kepada rakyat sekalian sempena hari keputeraan Rasulullah S.A.W yang mulia ini, marilah kita sentiasa berusaha ke arah mengembalikan kekuatan ummah melalui kekuatan iman, ekonomi, ilmu dan perpaduan.

"Sekiranya wujud perbezaan pendapat atau pertelingkahan, haruslah segera kembali kepada petunjuk al-Quran dan Sunnah," titah baginda.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta anakanda baginda iaitu Tengku Fatimatuz Zahra disambut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria bersama barisan kepimpinan negeri yang lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain