GEORGE TOWN: Dua peniaga yang sedang tidur di gerai mereka di tapak Pesta Pulau Pinang cedera dalam kejadian ribut. Pengurus Kanan Pesta Pulau Pinang Ahmad Shukri Jamaluddin berkata salah seorang peniaga cedera di bahagian kaki kerana tersepak batu, manakala seorang lagi terkena tiang besi selepas bumbung khemah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut pada pukul 6.30 pagi Ahad. "Kedua-dua mereka menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pulau Pinang. "Kami tidak membenarkan sesiapa pun untuk bermalam di tapak pesta ini tetapi beberapa peniaga tidak mengikut peraturan. "Sebahagian peniaga memilih untuk bermalam di sini kerana bimbangkan barang-barang mereka," katanya. Ahmad Shukri berkata, dua kanopi besar telah runtuh akibat ribut itu, manakala tiga lagi khemah kecil mengalami sedikit kerosakan. "Kanopi besar yang dipasang di hadapan kiosk makanan itu digunakan sebagai ruang makan untuk pelawat, manakala yang bersaiz lebih kecil itu adalah gerai peniaga. "Kami telah membetulkannya dan Pesta Pulau Pinang akan beroperasi seperti biasa," katanya, sambil menambah terdapat beberapa lagi ruang turut mengalami kerosakan akibat angin kuat. Ahmad Shukri berkata, walaupun tapak ekspo itu terletak di kawasan rendah, tiada kejadian banjir dilaporkan. "Bagaimanapun, kami mempunyai dua buah pam di tapak ini sekiranya berlaku hujan lebat," katanya. Pesta Pulau Pinang memasuki ulang tahun ke-50 pada tahun ini. Berlangsung di Sungai Nibong sehingga 31 Disember ini, ia dibuka setiap hari dari pukul 6 petang hingga tengah malam.