suria

Isteri 'Datuk' Mati Ditembak Hulur Sumbangan Kepada Isteri Mangsa

Datin Vivian Cheow (kanan) menyampaikan sumbangan kepada L. Thatchayani, Ahad.
GEORGE TOWN: Balu kepada Datuk Ong Teik Kwong, ahli perniagaan yang terbunuh dalam kejadian tembak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu 1 Disember lalu, telah menziarahi isteri kepada penjual bunga, M. Senthil yang turut terbunuh dalam kes itu.

Datin Vivian Cheow, telah meluangkan masa berbual-bual dengan L. Thatchayani, 42, di rumahnya di Seberang Jaya, pagi Ahad dan memberikan sumbangan RM4,000 dari organisasi kebajikan milik suaminya, Persatuan Kebajikan Amal Ckone.

Cheow, 29, diiringi oleh beberapa ahli daripada organisasi tersebut.

Cheow turut melawat juruvideo sambilan RTM, Mohamed Amirul Amin Amir di Hospital Pulau Pinang.

Walaupun tidak dapat berbual dengan Amirul yang terkena tembakan di dada kerana beliau diberikan ubat pelali selepas menjalani pembedahan kecil, Cheow dapat bercakap dengan ibunya, Bunisha Mohamed Ali dan kakaknya, Siti Munirah Amir.

"Saya datang sebagai tanda prihatin terhadap keluarga ini, yang mana Amirul turut cedera dalam kejadian malang ini," katanya kepada pemberita.

Cheow kemudiannya memberikan sumbangan RM2,000 kepada ibu Amirul.

"Ini adalah hasrat Ong yang mahu membantu orang lain melalui cabang amal ini," katanya.

Pada 1 Disember, pengawal Ong didakwa melepaskan tembakan semasa beliau berada di dalam kereta.


Artikel Berikut

Artikel Lain