suria

Amanah Nekad Jadi Benteng ‘Program’ Perkauman

Mat Sabu.

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) nekad untuk terus menjadi benteng kepada isu perkauman yang didakwa dimainkan secara terancang oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihak kerajaan dilihat telah menjadikan isu ini sebagai satu ‘program’ yang sistematik untuk memastikan mereka terus berkuasa sebagai pemerintah di negara ini.

“Sekarang ini gelombang membenci kaum Cina, India akan dimainkan sehebat-hebatnya dan benteng untuk mematahkan serangan itu adalah Parti Amanah Negara.

“Kita akan lawan perkara-perkara retorik yang menjahanamkan agama itu sendiri, kita kena lawan sebab isu ini hanya untuk mengekalkan kuasa mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Nasional parti Amanah, Ahad.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, apabila isu perkauman sering dimainkan, maka akan timbul pemahaman yang salah tentang kaum-kaum lain selain daripada Melayu.

“Akhirnya timbullah fahaman, ‘tak apa’, kalau rasuah atau menyeleweng pun tak apa asalkan orang Melayu kekal memerintah.

“Siapa yang ajar fahaman ni?,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Sabu turut menyentuh tentang peluang parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya jika Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bergabung, ia akan menjadi parti terkuat di negara ini.

Tambahnya, Johor akan menjadi sasaran gabungan empat parti ini diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“Bagaimanapun kita kena kikis semangat asabiyyah (fanatik) termasuk asabiyah negeri, itu tak boleh,” katanya.


Amanah, Mat Sabu

Artikel Sebelum

Artikel Lain