suria

SPRM Bebaskan Pengarah Agensi Kerajaan Di Labuan

LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan di Labuan selepas direman selama 11 hari bagi membantu siasatan berhubung projek pembangunan.

Satu sumber SPRM memberitahu Bernama, siasatan terhadap medan selera Labuan bernilai RM12 juta yang dibina di Tanjung Purun serta projek pembinaan dan infrastruktur bernilai RM48 juta di Labuan, masih diteruskan.

Pengarah berusia 59 tahun itu ditahan pada 21 November lalu, bersama-sama dua kontraktor berumur 40-an. Kontraktor terbabit dilepaskan pada 25 November manakala pengarah itu dilanjutkan reman pada 29 November.

"Siasatan kami diteruskan walaupun pengarah itu dibebaskan. Kami boleh memanggilnya sekiranya kami rasa ada keperluan untuk berbuat demikian," kata sumber itu.

SPRM membekukan 12 akaun bank milik pengarah itu yang mengandungi wang berjumlah RM899,000 dipercayai sebahagian daripada jutaan wang yang diperoleh melalui aktiviti rasuah.

Suruhanjaya itu menyenaraikan 26 orang, termasuk enam kakitangan kerajaan bagi membantu siasatan. - BERNAMA


SPRM, agensi kerajaan, Labuan

Artikel Berikut