suria

Hentikan Spekulasi Insiden Tembak

Suspek direman selama seminggu sejak 2 Disember lalu.

GEORGE TOWN: Polis negeri meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi liar berhubung insiden tembak di lebuh raya Lim Chong Eu Khamis lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab semasa dihubungi Bernama, berkata kejadian itu suatu insiden terpencil membabitkan seorang yang mempunyai masalah mental.

"Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri telah mengesahkan penembak itu, pengawal peribadi Datuk Ong Teik Kwang yang terbunuh, mempunyai masalah mental, jadi jangan kaitkan dengan kegiatan kongsi gelap," katanya.

Abdul Ghafar turut menafikan laporan kononnya polis telah mengesahkan kaitan Ong dengan aktiviti kongsi gelap.

"Laporan itu mengelirukan. Kami tidak pernah mengesahkan tentang hubungan Ong dengan mana-mana kongsi gelap. Orang ramai perlu faham bahawa ada perkara-perkara tertentu yang polis tidak boleh dedahkan atas faktor keselamatan," katanya.

Mengenai perkara lain, Abdul Ghafar berkata polis tidak terlibat dalam menapis penerima anugerah yang membawa gelaran 'Datuk' dan hanya menapis para pegawai polis yang bakal menerima anugerah.

Berikutan kematian Ong yang juga dikenali sebagai Datuk M (Datuk Muda), seorang ahli perniagaan dan pemilik kelab, ramai yang mempersoal bagaimana si mati boleh mendapat gelaran itu pada hal dia didakwa mempunyai rekod jenayah.

Mengenai kejadian Khamis lepas, tiga orang termasuk Ong mati ditembak, sementara lima cedera termasuk jurukamera RTM Muhamad Amirul Amin Amir, 27, akibat peluru sesat yang dilepaskan pengawal peribadi Ong.

Dua suspek ditahan reman hingga Jumaat untuk membantu siasatan dan polis telah merampas senjata yang digunakan dalam insiden itu. - BERNAMA

spekulasi, kes tembak, Datuk Muda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain