suria

Lima Juta Perokok Berdepan Risiko Masalah Gigi, Mulut

MELAKA: Kementerian Kesihatan menganggarkan seramai lima juta perokok di seluruh negara berdepan risiko masalah pergigian dan mulut.

Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ini berdasarkan penyelidikan kementeriannya melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tahun lepas.

Beliau berkata tabiat merokok berkait rapat dengan kesihatan pergigian dan penyelidikan NHMS setiap lima tahun itu menunjukkan jumlah perokok di negara ini semakin meningkat.

Katanya, meskipun pelbagai kempen dijalankan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya merokok, namun jumlah perokok masih tidak menunjukkan penurunan malah semakin membimbangkan.

"Terdapat peningkatan ketara dalam penggunaan produk tembakau, tanpa asap termasuk menghidu dan mengunyah tembakau atau rokok elektronik, iaitu daripada 0.7 peratus pada tahun 2011 kepada 10.9 peratus pada 2015. 

"Justeru, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan lebih 500 klinik berhenti merokok di seluruh negara bagi menawarkan perkhidmatan kepada golongan perokok tegar," katanya. 

Dr. Hilmi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Ikon Gigi (iGG) peringkat Kebangsaan di Ayer Keroh, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Malaysia Dr Noor Aliyah Ismail. 

Program iGG menekankan penglibatan sukarelawan dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang bertindak sebagai pemudah cara untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penjagaan kesihatan pergigian. 

Sementara itu, Dr Hilmim berkata hasil penyelidikan kementerian melalui Tinjauan Kesihatan Mulut Orang Dewasa Kebangsaan pada 2010 mendapati sembilan daripada 10 orang dewasa mengalami penyakit gusi. 

"Tujuh daripada 10 orang dewasa pernah mengalami penyakit pergigian dan lapan daripada 10 orang dewasa tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit pergigian," katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Melaka merupakan negeri perintis melahirkan seramai 30 sukarelawan iGG diikuti Terengganu yang turut melahirkan 30 sukarelawan iGG. 

Kelantan sedang giat melatih kohort ketiga kumpulan iGG bagi menyebarkan promosi kesihatan pergigian.  - BERNAMA

KKM, Hilmi Yahaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain