suria

Banjir Perak: Mangsa Banjir Meningkat 93 Orang

IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 93 orang di dua pusat pemindahan sementara berbanding 88 tengah hari Ahad.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak, mangsabanjir yang berada di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara dekat Sungai Manik, kekal 38 orang daripada sembilan keluarga.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir di Kampung Padang Serai dekat Beruas pula meningkat kepada 55 orang daripada 15 keluarga, berbanding 50 mangsa melibatkan 13 keluarga tengah hari tadi.

"Kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Serai," katanya.

Tinjauan Bernama di Kampung Pengkalan Ara mendapati penduduk sedang membersihkan kediaman masing-masing, dengan bantuan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Seorang penduduk, Azwa Hamid, 51, berkata beliau bersyukur apabila banjir kilat kali ini, tidak seteruk pada akhir tahun lepas, yang menyebabkan banyak peralatan rumahnya rosak.   

"Kami berharap pihak berwajib mendalamkan parit di sini serta menambak tebing bagi mengelak air melimpah ke kawasan rumah penduduk," katanya.   

Hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam pada Jumaat lalu, menyebabkan kawasan itu dinaiki air hampir 0.3 meter. -Bernama

Banjir Perak, mangsa pindah

Artikel Lain