suria

PAU 2016: "Kali Ini Gurauan Pembahas Berbeza" - Zahid

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) bersama Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhibur dengan Wakil Umno Pulau Pinang, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin yang membahaskan usul sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Satu perkara yang disedari pemimpin tertinggi Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini adalah maksud tersirat di sebalik gurauan pembahas.

Naib Presiden Umno yang menggalas tugas timbalan presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, PAU kali ini tidak sama dengan tahun terdahulu apabila pembahas tampil di pentas dengan lebih semangat kebersamaan dan penuh rasa tanggungjawab terhadap parti.

“Semangat jurucakap berbeza berbanding perhimpunan tahun-tahun terdahulu, tidak lagi boleh bergurau tanpa mesej.

“Mesej yang disampaikan dalam keadaan gurau senda, tapi sarat dengan pesanan-pesanan untuk kebersamaan semua ahli Umno dalam satu wadah dan acuan,” katanya pada sidang media bersama rakan naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Jumaat.

Timbalan perdana menteri itu berkata, mesej-mesej ini penting bukan sahaja kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi juga buat dirinya dan Hishammuddin.

“Akhirnya kita lihat bagaimana Umno harus menggunakan tanggungjawabnya, terutama mereka (pemimpin) yang ada di pentas untuk berlaku adil.

“Tentunya mesej ini penting untuk kami berdua menguatkuasakan hukuman dan mengatur penguatkuasaan, khususnya saya yang diberi tanggungjawab untuk menjaga keamanan negara ini,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin mengakui beliau dan Zahid setakat ini berpuas hati dengan perbahasan ucapan dasar presiden oleh pembahas.

Katanya, melalui pemerhatian yang dibuat, jurucakap tidak lari daripada usul yang dibentangkan, seperti isu kesetiaan, ketaatan dan perjuangan terhadap golongan tertentu.

“Saya setuju dengan Datuk Seri Zahid bahawa suasana PAU kali ini berbeza dengan tahun lepas di mana kita tengok perbahasan lebih konstruktif dan membina. 

“Usul yang dibentangkan bukan usul saya atau Datuk Seri Zahid tetapi dari akar umbi dan apabila pembahas menyentuh perkara yang termaktub dalam usul, sebenarnya mereka membawa harapan, teguran daripada ahli-ahli di peringkat cawangan,” katanya.

Hishammuddin berkata, beliau mengharapkan usul ekonomi, pendidikan dan agama turut dibahaskan sebaiknya sebelum PAU 2016 menutup tirainya pada Sabtu.

Zahid, Umno, PAU

Artikel Sebelum

Artikel Lain