suria

Pemandu Maut Dalam Kemalangan Tiga Buah Lori

BESUT: Seorang pemandu terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di kilometer 85, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baru dekat Kampung Alor Serdang di sini Khamis.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Hawari Mat Husin, 41, berasal dari Kampung Gaal Tengah, Pasir Putih, Kelantan, yang ketika kejadian dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Baru.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata kemalangan kira-kira 3.40 petang itu dipercayai berlaku setelah sebuah lori jenis Isuzu Rigid yang membawa barangan sejuk beku dari arah Kota Baru, terbabas ke lorong kanan jalan di tempat kejadian.

"Lori berkenaan kemudiannya melanggar sebuah lori lain yang diletak di bahu jalan sebelah kanan sebelum melanggar lori yang dipandu mangsa dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Akibat perlanggaran itu, mangsa yang membawa lori tiga tan jenama HICOM meninggal dunia di tempat kejadian.

Kesesakan lalu lintas turut berlaku akibat kemalangan itu ekoran muatan sejuk beku di dalam lori jenis Isuzu Rigid bertaburan di atas jalan raya.

Mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat. - BERNAMA

kemalangan, Besut, lori

Artikel Lain