suria

25 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Pasir Putih

KOTA BHARU: Dua puluh lima mangsa daripada lima keluarga di Kampung Tasek, Pasir Puteh dipindahkan selepas kediaman mereka mula dinaiki air sedalam 0.5 meter kira-kira pukul 10 pagi Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Pegawai Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata kesemua mangsa dipindahkan pada pukul 12 tengah hari tadi selepas air Sungai Kampung Tasek mula melimpah masuk ke perkampungan itu.

"Mangsa-mangsa berkenaan melibatkan tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.

Kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raja di sini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumat.

Beliau berkata sembilan anggota bomba, enam anggota polis dan empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut membantu dalam proses pemindahan mangsa.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dihttp://infobanjir.water.gov.my/ yang dikemas kini sehingga 12 tengah hari Jumaat menunjukkan beberapa sungai di Kelantan berada di paras berjaga-jaga.

Menurut laman sesawang itu, Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang berada pada paras 56.29 meter berbanding paras berjaga-jaga 56 meter dan Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai kepada 28.02 meter (paras berjaga-jaga 27 meter).

Selain itu, Sungai Kusial di Tanah Merah di paras 12.27 meter (paras berjaga-jaga 12 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas di paras7.67 meter (paras berjaga-jaga 7 meter). -Bernama

Banjir, kelantan

Artikel Berikut

Artikel Lain