suria

Kompaun RM10,000 Buang Sampah Secara Haram

Gambar hiasan.

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengenakan kompaun sehingga RM10,000 bagi mereka yang membuang sampah secara haram di kawasan bekas Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Krubong, di sini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin berkata orang awam yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tegas dan didakwa mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Sebelum ini, kawasan ini telah diakses sebagai kawasan 'tutup selamat', namun kita dapati sehingga kini terdapat sesetengah kontraktor yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di lokasi tersebut. Kita juga menerima laporan bahawa kawasan ini juga turut dijadikan sarang penagih dadah.

"Justeru, kita akan mengambil langkah proaktif dengan terus memantau dan melakukan pengawasan secara berkala bagi mengelakkan kejadian seumpama ini tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi pembersihan di bekas tapak pelupusan sisa pepejal Krubong di sini, Jumaat.

Tapak pelupusan sampah di Krubong seluas 80 hektar ditutup tahun lepas setelah mencapai tahap kapasiti maksimum dan digantikan dengan tapak pelupusan baharu di Sungai Udang di sini.

Zainal berkata dalam usaha mengatasi masalah pembuangan sampah secara haram berterusan, MBMB turut bertindak menutup laluan ke kawasan bekas Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Krubong dan memasang pagar penghalang di laluan masuk.

"Di samping itu, kita akan membuat rondaan secara berkala dan menggali parit di laluan masuk tapak serta mempamerkan papan tanda amaran supaya orang ramai tidak lagi membuang sisa pepejal ke tapak pelupusan yang telah ditutup ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bekas tapak pelupusan sampah itu akan diselenggara secara menyeluruh termasuk dibangunkan sebagai kawasan yang memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya penduduk di negeri ini.

"Usaha menghijaukan kawasan berkenaan dan dijadikan sebagai pusat rekreasi dilihat dapat membantu mengekang tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan lokasi ini sebagai tempat melakukan perbuatan tidak bermoral," katanya. - BERNAMA

kompaun, buang sampah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain