suria

Segera Tubuh Jawatankuasa Khas Siasat Dana Bersih - Wanita Umno

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan penganjuran Bersih dibiayai Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan George Soros.

Wakil Pergerakan Wanita Umno, Datuk Norhayati Omar berkata penganjur Bersih telah mengaku menerima dana tersebut, justeru siasatan segera perlu dilakukan kerana rakyat, khususnya sayap Wanita tidak mahu campur tangan asing di negara ini.

“Kita nak nyatakan bahawa kita tak mahu campur tangan asing, lihat saja pengakuan Bersih, Maria Chin Abdullah telah mengaku bahawa mereka terima dana OSF, menyerlahkan lagi niat jahat mereka.

“Ini semua tuntutan Bersih untuk keadilan dan hak asasi dalam kaca mata Barat tanpa memikirkan semangat perlembagaan negara,” katanya ketika sesi perbahasan menyokong usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di sini, Khamis.

Norhayati, wakil Wanita Umno bahagian Kuala Pilah berkata, antara matlamat Wanita pada perhimpunan kali ini adalah untuk menyarankan supaya jawatankuasa tersebut diwakili Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Bank Negara Malaysia.

Dalam pada itu, Norhayati turut menyatakan bagaimana kaum wanita dikaitkan dengan kesetiaan, berbanding kaum lelaki, termasuklah kesetiaan kepada parti.

“Wanita tak banyak ragam, fitrah wanita kalau hati dah tersimpul kasih, dah tertancap sayang, dah terpatri setia, jarang-jarang sekali ia berubah.

“Setianya dibawa mati, hanya cangkul dan tanah yang bisa memisahkan,” katanya.

Wanita Umno, Bersih, OSF

Artikel Lain