suria

MRA Lancar Tabung Kemanusiaan Rohingya

GAMBAR fail bertarikh 24 Jun 2016 menunjukkan kanak-kanak Rohingya berkumpul di kem pelarian di Dar Paing dekat Sittwe, Rakhine. - AP

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) akan menyalurkan bantuan kewangan RM50,000 kepada etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar yang sedang berdepan krisis kemanusiaan.

Presidennya Datuk Abd Razak Kechik berkata MRA juga sudah mengatur langkah sewajarnya bagi menghantar bantuan dalam bentuk makanan dan bukan makanan ke kawasan yang dikenal pasti mempunyai jumlah pelarian yang ramai.

"Bantuan kewangan yang diperuntukkan bagi setiap keluarga adalah RM300 iaitu RM100 untuk membeli selimut manakala selebihnya bagi membeli keperluan asas lain termasuk makanan.

"Kami mendapati barang keperluan dan makanan di sana mencukupi namun mereka tidak mempunyai wang untuk membelinya, maka atas dasar itu kami membuat kutipan wang untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran 'Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya' di sini Khamis.

Abd Razak berkata masalah kini semakin meruncing dengan musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi dan mereka tidak dapat ke mana-mana untuk menyelamatkan nyawa masing-masing.

Menurutnya, bantuan tersebut akan disalurkan melalui rakyat Myanmar beragama Islam di sana yang bebas bergerak di kawasan itu berikutan pintu masuk ke wilayah berkenaan dikawal ketat oleh kerajaan Myanmar.

Sementara itu, majlis hari ini menyasarkan kutipan kira-kira RM500,000 dan orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke 'Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya' atas nama Malaysian Relief Agency, di nombor akaun 564098206365 (Maybank). - BERNAMA

MRA, Rohingya, Abd Razak Kechik

Artikel Lain