suria

“Mereka Suruh Kasar, Saya Pilih Sabar” - Najib

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bergambar bersama Anggota-anggota Majlis Tertinggi Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis. Turut bersama Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memilih pendekatan lebih ‘keras' untuk menjawab kritikan dan tohmahan lawannya tetapi memutuskan untuk bersikap sabar.

Perdana menteri berkata, beliau akan terus berjiwa besar dan bersabar walaupun ramai yang berpandangan beliau tidak boleh lagi berlembut pada perhimpunan kali ini, terutama dalam menjawab cercaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya.

“Apabila saya berjumpa ramai pihak dalam proses menyediakan ucapan ini, berbagai pandangan diterima antaranya supaya saya tidak perlu lagi bersifat ‘gentleman’ dan berlembut, sebaliknya hendaklah sekarang ini bernada lebih keras, menjawab cemuhan-cemuhan, segala maki hamun, dan membalas kembali cercaan serta tuduhan oleh pelbagai pihak termasuk Dr Mahathir bersama konco-konconya dengan kata-kata cacian yang juga kesat lagi kasar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis.

Bagaimanapun, Najib berkata, beliau akan terus bersikap matang dengan berpegang kepada pesanan Rasulullah kepada isterinya untuk berlembut dalam kata-kata, walaupun terhadap lawan.

Katanya, pendekatan itu juga sesuai dengan sifat mulia orang Melayu, memetik madah Sasterawan Negara Usman Awang dan Sasterawan Melayu-Riau Tenas Affendy.

“Sekali pun begitu, walau watak Melayu menolak permusuhan, setia dan sabar tiada sempadan, biar berkecai tulang, hatta hancurnya badan, pantang pendekar meninggalkan gelanggang,” demikian antara bait-bait sajak yang dibacakan.

Menurut Najib, dalam berdepan pelbagai cabaran dan kritikan sebagai presiden Umno dan perdana menteri, beliau akan meletakkan dirinya ‘di atas’ lawan, bukannya turun ke tahap rendah daripada lawan.

“Sebagai hamba Allah dan manusia biasa yang punya hati dan perasaan, saya sedar dan sememangnya tahu bahawa segelintir pihak sedang menghina-hina serta mengeji-ngeji saya secara peribadi, anak isteri serta keluarga saya, dan lebih menyedihkan mereka mencela-cela pula parti kesayangan kita, parti Umno dan kerajaan secara keseluruhannya,” katanya.

Jelasnya, beliau bagaimanapun tidak akan membuang masa melayan atau melawan pihak yang dianggap pengkhianat bangsa, sebaliknya melaksanakan jihad lebih besar iaitu untuk terus mara, memajukan ekonomi dan pembangunan negara, demi menjaga kepentingan sejumlah 31 juta rakyat Malaysia. 

“Apa yang mustahak, saya akan terus terang, supaya setiap perkara yang diperhadapkan kepada pimpinan dan parti, boleh sama-sama kita hadami dan bahaskan nanti.

“Kata orang, yang tersimpul dapat dirungkaikan, yang kusut boleh diperjelaskan, yang lemah mampu diperbaiki dan diperbetulkan,” tegasnya.

Najib, Umno, Mahathir

Artikel Sebelum

DAP Mimpi Ngeri Melayu - Najib

Artikel Berikut

Artikel Lain