suria

Kes Saman Rahman Dahlan Terhadap Malaysiakini Selesai

Abdul Rahman Dahlan.

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan terhadap penerbit portal berita Mkini Dotcom Sdn Bhd selesai secara baik melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini, Isnin.

Dalam kenyataan penjelasan, portal Malaysiakini menerangkan artikel bertajuk "Minister's 'go back to kampung' notion draws contempt" dan video yang diterbitkan di laman portal itu pada 6 November tahun lepas, tidak memberi gambaran sebenar kenyataan menteri itu. 

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dalam kamarnya dengan dihadiri peguam, Datuk M. Reza Hassan mewakili Abdul Rahman, manakala peguam K. Shanmuga mewakili Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan bagi pihak Mkini Dotcom dan wartawannya, Geraldine Tong. 

M. Reza ketika ditemui pemberita, bagaimanapun enggan mendedahkan terma-terma penyelesaian tetapi memaklumkan satu daripada terma itu ialah Malaysiakini diminta menyiarkan kenyataan penjelasan berhubung penyelesaian kes itu di laman portal beritanya secepat mungkin. 

Menurut kenyataan penjelasan diberikan kepada media, Malaysiakini setuju bahawa video Voxpop hanya petikan daripada komen menteri dan akibatnya, penerbitan meragukan itu tidak memberi konteks penuh tentang apa yang diperkatakan Menteri. 

Malaysiakini berkata, petikan itu diambil daripada sidang akhbar yang diadakan pada 3 Nov 2015 bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia. 

Portal itu berkata dalam sidang akhbar itu, syarikat berkenaan mengakui Menteri menjelaskan dengan panjang lebar mengenai pembangunan bandar-bandar berdaya
tahan, yang tidak terhad kepada kenyataan "go back to kampung" sahaja. 

"Tetapi juga termasuk krisis kewangan, peningkatan kadar pengangguran, pengurangan makanan dan bekalan air serta kekacauan dan keganasan dalam masyarakat," kata Malaysiakini. 

Portal itu juga mengakui respons menteri terhadap "go back to kampung" merujuk terus kepada andaian ditimbulkan wartawan, dan Menteri juga menyatakan ucapannya diberikan sebelum itu memberi konteks sebenar kepada komen beliau. 

"Kami memahami penyiaran (video itu) mendedahkan Menteri kepada ejekan dan menggambarkan beliau seorang yang tidak berhati perut dan tidak prihatin kepada
nasib masyarakat inner city... Ini amat dikesali," katanya.

Bagaimanapun, portal itu berkata. Malaysiakini percaya bahawa mereka hanya melaporkan pandangan orang ramai apabila menerbitkan video Voxpop dan artikel berkenaan. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain