suria

NGO Islam Berhimpun Sokong RUU

Ahli NGO Islam berhimpun di depan Parlimen untuk menyatakan sokongan terhadap RUU.

KUALA LUMPUR: Sejumlah ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berkumpul di depan Parlimen pada Khamis untuk menyatakan sokongan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminuddin Yahya yang menyertai perhimpunan itu, menggesa semua anggota Parlimen beragama Islam untuk menyokong usaha Abdul Hadi tersebut bagi meminda kuasa Mahkamah Syariah.

"Kami mahu anggota Parlimen terutamanya yang beragama Islam bahawa rakyat menyokong mereka.

"Jika mereka tidak menyokong RUU, kami akan mengenalpasti mereka dan tidak menyokong mereka pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika berucap di depan Parlimen.

Kumpulan terbabit turut berzikir dan bertakbir setiap kali kereta memasuki pintu masuk Parlimen.

Aminuddin berkata, RUU mesti disokong oleh semua pihak dan usul itu bukanya hukum hudud seperti yang didakwa segelintir pihak.

"Kami mahu menjelaskan bahawa undang-undang tersebut ditujukan khas buat orang Islam dan mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah.

"Orang bukan Islam perlu faham bahawa kedudukan mereka tidak akan tergugat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain