suria

1,740 Pusat Judi Digempur

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 1,740 premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian diserbu dari Januari sehingga kini dalam usaha kerajaan negeri memerangi dan membanteras habis-habisan aktiviti itu secara holistik di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abd Latif Bandi berkata daripada jumlah itu, sebanyak 116 premis dipotong bekalan elektrik kerana masih meneruskan kegiatan perjudian melalui penyambungan elektrik secara haram.

"Serbuan dijalankan bermula Januari hingga November 2016...kita dapati sejak penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perjudian Peringkat Negeri, terdapat penurunan bilangan premis-premis yang beroperasi meskipun masih ada segelintir yang degil.

"Kebanyakan premis perjudian ini menjalankan aktiviti di sebalik premis-premis makanan, kedai runcit dan pusat snuker bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini Khamis.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menyenaraihitamkan mana-mana pemilik kediaman dan kedai yang membenarkan premis mereka diguna untuk menjalankan aktiviti perjudian termasuk judi dalam talian.

Abd Latif berkata apabila disenaraihitamkan, pemilik premis itu akan dikenakan pemotongan bekalan elektrik serta air di premis mereka dan perlu mengemukakan rayuan munasabah bagi membolehkan kedua-dua bekalan disambung semula.

"Kita juga dalam proses mencadangkan pembekuan lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) dan mana-mana premis yang beroperasi menggunakan lesen ini tidak akan dibenarkan untuk memperbaharui lesen PHK.

"Kerajaan negeri hanya akan mengeluarkan lesen Pusat Hiburan Kanak-kanak, jadi dengan cara ini kita dapat mengekang salah guna lesen yang menjurus kepada kegiatan tidak bermoral daripada terus berlaku dan berselindung di sebalik premis hiburan," katanya.

Jawatankuasa Pasukan Petugas Perjudian Peringkat Negeri ditubuhkan pada April lalu dan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim di peringkat negeri manakala pegawai daerah sebagai pengerusi peringkat daerah masing-masing.

Beliau berkata jawatankuasa itu turut melibatkan agensi berkaitan iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Pejabat Daerah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings Sdn Bhd bagi melakukan operasi bersepadu di seluruh negeri. - BERNAMA

Judi

Artikel Lain