suria

Saya Malu Ibrahim Ali Itu Kawan Saya - Tun M

Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau malu untuk berkawan dengan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Menurut mantan Perdana Menteri itu, Ibrahim telah menolak untuk terlibat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana parti itu bekerjasama dengan DAP.

"Saya malu. Dia adalah kawan saya, tetapi dia tidak mahu menyertai Pribumi kerana kami berkawan dengan DAP," katanya kepada pemberita pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Selasa.

Dr Mahathir berkata, Ibrahim tidak akan bekerjasama dengan DAP kerana beliau berpendapat ia adalah jahat.

Bagaimanapun, beliau berkata, DAP bersama dengan PKR dan Parti Amanah Negara secara terbuka menyatakan bahawa antara lain mereka menghormati Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja di negara ini.

"Mereka menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Mereka menerima kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera dan mereka juga menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai Ibrahim mengumumkan bahawa beliau berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ditanya sama ada jawapan itu bermakna beliau memutuskan hubungan dengan Perkasa dan Ibrahim, Dr Mahathir menjawab: "Saya mahu beri dia peluang."

"Dia patut menarik diri. Jangan pecahkan sehingga ada pertandingan tiga penjuru, empat penjuru," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain